Monday, November 9, 2009

Kaedah Istinbath Mazhab al-Syafie Dalam Bab Wudhu 2


1.2 Permasalahan Kajian

Sikap umat Islam akhir zaman yang mengabaikan ilmu pengetahuan menjadi punca utama kepada gejala taqlid membuta tuli. Keadaan ini kelihatan lebih parah apabila tidak ada dorongan dari pihak pemerintah ke arah menghalakan minat umat Islam kepada ilmu pengetahuan. Ditambah dengan media massa yang hanya memikirkan keuntungan, hanya akan menambahkan lagi parah kepada gejala ini.

Umat yang telah berbudaya dengan taqlid membuta tuli akan menjadi ‘pak turut’ kepada apa yang didengari dan apa yang berjaya menarik minat nafsunya, tanpa bersikap kritis dan rasional berdasarkan panduan ilmu. Sudah tentu suasana ini akan memberi kesan negetif kepada pembangunan umat dan Negara.

Terjerumusnya sebahagian umat melayu ke dalam lembah kesesatan menjadi bukti yang kuat betapa rapuhnya kefahaman umat Melayu terhadap sumber utama syariat Islam (مصادر التشريع) iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang sahih[1], al-Ijma (الإجماع)[2], dan al-Qiyas (القياس)[3]. Kejayaan kumpulan-kumpulan ajaran sesat seperti ajaran Tal Tujuh,[4] al-Arqam[5], pengikut orang Melayu yang mengaku menjadi Rasul Kahar bin Ahmad[6], pengikut kepada ajaran Ayah Pin[7] dan sebagainya boleh dijadikan kayu ukur untuk melihat fenomena berbahaya ini.

Dari sudut lain, keterikatan umat Islam dengan mazhab al-Syafie perlu diberikan panduan yang jelas, terutamanya berkaitan sumber utama rujukan di dalam Mazhab iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Kepelbagaian mazhab itu timbul hasil dari usaha hendak memahami al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W. atau hendak merealisasikan ajaran keduanya. Maka asas semua mazhab adalah mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian, setiap individu muslim perlu sedar, ikutan mereka dengan mazhab al-Syafie asasnya adalah hendak mengikut al-Quran dan al-Sunnah.

Kefahaman ini dilihat perlu diketengahkan terutamanya di zaman mutaakhir ini, dimana kebanyakan umat semakin jauh dari sumber utama agama Islam. Oleh yang demikian, dalam kajian ini, persoalan utama yang akan dijadikan permasalahan kajian ialah mengetengahkan kaedah istinbat di dalam Mazhab al-Syafie dalam persoalan wudhu supaya kita dapat melihat bagaimana sesuatu keputusan hukum itu dibuat di dalam mazhab. Ia bukan dibuat di atas dasar khayalan, agak-agakan, mimpi dan seumpamanya yang tidak berpijak di bumi yang nyata dan jauh dari unsur ilmu. Kajian ini diharap dapat membangkitkan kesedaran umat Islam terhadap kepentingan ilmu dan mengembalikan kefahaman beragama kepada rujukannya yang sebenar. Pengabaian dalam perkara ini, bermakna kita membiarkan bersemaraknya kefahaman yang salah dan dalam masa yang sama membiarkan sebahagian golongan membicarakan persoalan agama sesuka hati dan semua ini merupakan suatu yang boleh membuka pintu kerosakan dan fitnah.

Kepentingan mendedahkan masyarakat kepada kaedah-kaedah istinbat yang digunakan oleh Mazhab al-Syafie dalam pengeluaran sesuatu hukum dirasakan dapat membantu memurnikan dua perkara yang utama iaitu:

1. Kefahaman umat Islam terhadap amalan bermazhab, di mana bermazhab bukanlah suatu perkara yang dikeji di dalam Islam, bahkan ia merupakan suatu kemestian.

2. Kefahaman umat Islam terhadap pengamalan agama, di mana pandangan-pandangan di dalam mazhab dikeluarkan setelah para ulama melalui kaedah-kaedah istinbat yang tersusun, sebagai natijah dari kefahaman secara keseluruan isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah.


---------------------------------


[1] Al-Sunnah yang sahih secara umum ialah sunnah ataupun hadith yang telah dipastikan ianya merupakan perkataan Nabi S.A.W. bukan perkataan selain baginda yang dinisbahkan kepada baginda secara dusta.
[2] Al-Ijma’ dari sudut istilah di sisi para ulama usul ialah: “Kesepakatan (kesemua) para mujtahidin dari kalangan umat Islam dalam sesuatu zaman ke atas sesuatu hukum syara’ selepas kewafatan Nabi S.A.W.” Sila lihat Dr. Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Muassasah al-Risalah, hlm. 179.
[3] Al-Qiyas dari sudut istilah di sisi ulama usul ialah: “Menyandarkan sesuatu yang tidak ada nas tentang hukumnya kepada sesuatu yang ada nas tentang hukumnya dalam sesuatu hukum, kerana kedua-duanya memiliki illah hukum tersebut.” Dr. Abd al-Karim ZAidan, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm. 194.
[4] Fatwa Negeri Kelantan Darul Naim, tarikh pewartaan 5 Julai 2007. Ruj. Pewartaan: Kn. P.U. 18: http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1351
[5] Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan, tarikh pewartaan 18 Ogos 1994. Ruj. Pewartaan: 10 Jil:47 Bil:17: http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=296
[6]Fatwa Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tarikh pewartaan 3 Januari 2007, http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1424
[7]Fatwa negeri Terengganu Darul Iman, tarikh pewartaan 4 Disember 1997. Ruj. Pewartaan: No. 1461: http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=81

0 comments: