Wednesday, April 2, 2008

Kontroversi Isu Memberi dan Menjawab salam kepada Orang Bukan Islam

Oleh: Bin Sahak

Apabila Mufti Perlis S.S. Dr Mohd Asri menulis tentang tajuk memberi dan menjawab salam orang bukan Islam, sebahagian orang melenting. Ada yang sanggup menulis sebuah artikel bagi membuktikan betapa tidak benarnya pandangan Mufti Perlis tersebut. Lebih menggelikan hati mereka sangup menulis satu artikel untuk menjawab, membongkar (kononnya) kesalahan atau betapa tidak tepatnya pandangan Mufti Perlis, tetapi mereka tidak ada masa yang cukup untuk menulis bagi membetulkan salah-faham umat Islam selama ini terhadap agama islam itu sendiri.

Dua, tiga orang yang menulis kontra mereka dengan Dr. Asri, sebelum ini kita tidak pernah melihat mereka menulis membetulkan cara faham masyarakat, tidak pernah sama sekali. Tak pernah ada orang yang mengaku berkelulusan Mufti menegur khurafat Doa Haikal yang terdapat dalam buku kecil Majmu’ al-Syarif yang banyak terdapat di masjid-masjid. Tidak ada juga mana-mana kenalan Dr. Asri yang rajin membongkar jenayah hadith palsu al-Musalsal bi al-Musafahah yang dijaja oleh seorang ustaz dari Indon sepertimana mereka rajin menulis kontranya mereka dengan Mufti perlis. Pelik memang pelik. Tidak ada juga walau seorang yang menegur kepincangan kebanyakan kuliah di masjid-masjid.

Rasanya semua yang belajar sedar betapa sebahagian besar kuliah di masjid-masjid hakikatnya tidak memenuhi kehendak agama, cerita karut, khurafat disebar luas dari penceramah-penceramah, makian dan umpatan seperti perkara biasa, namun tidak ada seorangpun yang rajin menulis membetulkan keadaan yang sedia ada.

Hairan bin Ajaib, apabila Dr. Asri bangun dengan usahanya membetulkan apa yang silap, ada pula manusia agama yang sebelum ini keberadaan mereka itu tidak dirasai wujudnya, tiba-tiba bangun ‘terhegeh-hegeh’ menunjukkan kontra dan mempamerkan ilmu masing-masing. Barangkali, mungkin mereka juga membawa selogan mempertahankan mazhab Nusantara, wallahu a’lam.

Kita memohon kepada Allah swt supaya menjauhkan kita dari sikap iri hati sesama muslim apatah lagi dalam kerja-kerja agama ini.

Berbalik kepada isu memberi dan menjawab salam orang bukan muslim. Suatu kenyataan yang tidak dapat dinafikan, umat Islam hari ini fakir dengan kerja-kerja dakwah kepada orang bukan Islam, apatah lagi bangsa Melayu yang kebanyakannya mereka sendiri jahil tentag islam. Bukan sekadar jahil, kebanyakannya masih menaruh buruk sangka kepada orang yang baru masuk Islam. Bukan hanya orang kebanyakan bahkan sebahagian pekerja di jabatan agama masih ada yang menaruh buruk sangka kepada para muallaf, dengan mengganggap mereka memeluk Islam disebabkan perkahwinan dan seumpamanya. Inilah hakikatnya masyarakat Melayu.

Memberi dan Menjawab salam kepada bukan Islam adalah isu khilafiah

Sepertimana yang disebut oleh Mufti Perlis, isu memberi dan menjawab salam orang bukan Islam adalah isu khilafiyah. Ini bermakna ulama tidak sependapat tentang hukumnya. Dr. Khalid Muhammad Abdul Qadir, Pensyarah di Universiti-universiti Lubnan ketika menjawab soalan tentang hukum memulakan salam kepada ahli kitab berkata:

“Sebahagian salaf berpendapat harusnya memberi salam kepada ahli kitab dan musyrikin, sesungguhnya Ibn Mas’ud telah melakukan perkara itu, dan beliau berkata: “Sesungguhnya ia (memberi salam kepada bukan Muslim) itu adalah antara hak persahabatan.”, demikian juga Abu Umamah, beliau tidak melalui seorang muslim mahupun seorang kafir, melainkan dia akan memberi salam kepadanya, ditanya kepadanya tentang tindakannya itu, lalu beliau menjawab: “Kita disuruh untuk menyebarkan salam (أمرنا أن نفشي السلام ).” (Isnad hadith ini sahih, al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah dan Sahih Ibn Majah)

Dan inilah juga yang dilakukan oleh Abu Darda’, manakala Ibn ‘Abbas pernah menulis kepada Ahli Kitab as-salamu ‘alaika, demikian juga ‘Omar Ibn Abdul Aziz juga berkata:

“Tidak mengapa kita memulakan kepada mereka (orang-orang kafir) dengan salam.”
(http//www.islamonline.net/)

Syeikh Faisal Mawlawi (Naib presiden majlis penyelidikan dan fatwa Eropah) pula di dalam lamanwebnya (http//www.mawlawi.net/) menyebut dengan lebih jelas bukti-bukti yang menunjukkan memberi dan menjawab salam kepada orang bukan islam itu adalah dibenarkan. Bahkan inilah keadaan asal yang berjalan di tengah-tengah masyarakat yang didik oleh Nabi saw di Madinah. Beliau telah menyebut dalil-dalil yang banyak daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menunjukkan kebenaran tersebut, antara dalil-dalil tersebut ialah:

1- Ayat al-Quran dari surah al-Nur ayat ke 27 maksudnya,

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu melainkan kamu meminta izin dan memberi salam kepada ahli rumah tersebut…”
Dalam surah yang sama pada ayat 61 Allah berfirman lagi yang bermaksud :

“Apabila kamu memasuki satu rumah, maka berilah salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam) kepada diri kamu sendiri, salam yang ditetapkan di sisi ALlah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya mudah-mudahan kamu memahaminya.”

Syeikh Faisal Mawlawi berkata: “Kalimah Buyut (Rumah-rumah) yang terdapat di dalam kedua-dua ayat di atas adalah merangkumi rumah orang Islam atau bukan Islam… ayat ini merupakan nas yang am akan kewajipan memberi salam apabila hendak memasuki rumah, samaada kepada orang muslim atau bukan muslim. Al-Imam al-Tobari di dalam tafsirnya menyebut dari Ibrahim al-Nakha’ie yang berkata:

“Apabila kamu memasuki rumah, di dalamnya ada orang Yahudi, maka ucapkanlah Assalamu’alaikum, jika kamu tidak mendapati seseorangpun di dalamnya, ucapkanlah al-Salamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin.”


2- Surah al-Zukhruf : 89 yang bermaksud:

“Dan (Allah) mengetahui ucapan Muhammad: “Ya tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman. Maka berpalinglah dari mereka dan katakanlah ‘Salam’, kelak mereka akan mengetahui nasib mereka yang buruk.”

Syeikh Faisol Mawlawi menyebut: “al-Syanqiti ketika menafsirkan ayat ini di dalam Adwa’ al-Bayan menyebut ayat ini: “Mengandungi tiga perkara, salah satunya ialah, ucapan kepada orang kafir dengan ‘Salamun’. Sesungguhnya Allah swt telah menjelaskan bahawasanya al-Salam kepada orang kafir itu adalah tindakan hamba-hambaNya yang baik-baik.”

3- Ucapan Nabi Ibrahim kepada ayahnya yang tidak beriman, dirakamkan di dalam surah Maryam ayat 47, maksudnya:

“Berkata Ibrahim: Salamun ‘alaikum, aku akan meminta ampun dari tuhanku untukmu, sesungguhnya dia amat baik terhadapku.”

al-Qurtubi di dalam tafsirnya, ketika menafsirkan ayat ini menyebut perkataan Sufyan Ibn ‘Uyainah yang ditanya: “Apakah harus memberi salam kepada orang kafir.?” Beliau menjawab: “Ya, firman Allah swt : “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah : 7). Dan Allah juga telah berfirman (maksudnya): “Adalah bagi kamu contoh yang baik dari nabi Ibrahim (al-Mumtahanah: 4), dan Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya (yang tidak beriman): “Salamun ‘alaika”. Aku (al-Qurtubi) berkata: “Dan yang lebih nyata daripada ayat ini ialah apa yang dinyatakan oleh Sufyan bin ‘Uyainah (yang mengharuskan memberi salam kepada orang kafir).” Setelah memilih pendapat Sufyan bin ‘Uyainah yang mengharuskan memulakan salam kepada orang kafir, al-Qurtubi mendatangkan perkataan Ibrahim al-Nakhaie : “Apabila kamu mempunyai keperluan (hajat) terhadap orang Yahudi atau Nasrani, maka mulakanlah salam kepadanya.” Seterusnya al-Qurtubi menyebut lagi perkataan al-Tobari : “Dan telah diriwayatkan daripada salaf, bahawasanya mereka memberi salam kepada ahli kitab…”

Syeikh Faisol Mawlawi di dalam tulisannya menyebut setelah al-Qurtubi memilih pendapat Sufyan bin ‘Uyainah yang mengharuskan memberi salam kepada orang kafir, beliau juga menyebut ulama lain yang sependapat dengannya iaitulah al-Tobari dan beliau menasabkan pendapat itu kepada generasi salaf yang terdiri dari Ibn Mas’ud, Abu Umamah, al-Hasan al-Basri dan al-Auzaie.


Beberapa dalil dari orang-orang Yang Kontra dan jawapannya

Orang-orang yang membantah bolehnya memberi dan menjawab salam kepada orang kafir memberikan beberapa alasan, antaranya :

1- Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya:
i- “Janganlah memulakan ucapan salam kepada Yahudi dan Nasrani..”.

Hadith ini umum, namun terdapat hadith lain yang menunjukan adanya larangan memulakan salam kepada orang kafir disebabkan berlakunya peristiwa khusus iaitulah peristiwa peperangan di Bani Quraizah, Abu Basrah menyebut bahawasanya Nabi saw bersabda:

ii- “Sesungguhnya kita esok pagi akan (bertemu di Bani Quraizah) orang-orang Yahudi, maka janganlah kamu semua memulakan salam kepada mereka, jika mereka memberikan salam kepada kamu, maka jawablah wa’alaikum.” (Hadith ini riwayat Ahmad, al-Tobrani di dalam al-Kabir)

Syeikh Faisol Mawlawi telah memberi jalan penyelesaian dalam masaalah ini iaitulah dengan kaedah al-Jam’u baina al-Riwayatain (Mengabungkan antara dua riwayat). Secara ringkasnya:

a- Hadith pertama di atas menunjukkan larangan memulakan salam kepada orang-orang Yahudi tanpa diberikan sebab larangan tersebut, seolah-olah larangan itu kerana mereka adalah orang Yahudi atau Nasrani. Jika kita mengambil zahir hadith ini, ia akan membawa kepada kita mengabaikan riwayat hadith yang kedua di atas, yang terdapat illah (sebab) larangan memulakan salam kepada orang Yahudi iaitulah disebabkan wujudnya suasana peperangan.

Berbeza jika kita mengambil hadith yang kedua, kita tidak perlu mengabaikan riwayat yang pertama, dengan kita mengatakan hadith pertama yang melarang itu disebabkan adanya sebab yang khusus iaitulah peperangan. Cara ini (al-Jam’u baina al-Adillah = Menggabungkan antara dua riwayat) adalah cara yang dipraktikkan oleh ahli usul berdasarkan kaedah mereka (إعمال الكلام خير من إهماله = Mempraktikkan nas yang ada lebih baik dari mengabaikannya).

Selain itu tidakkah kita terfikir mengapa Nabi saw melarang memberi salam ketika hendak pergi ke perkampungan Bani Quraizah untuk berperang ? Tidakkah ia menunjukkan sebelum itu salam diberikan termasuk kepada yang bukan Islam ?

b- Jika kita hendak memperaktikkan kaedah Nasikh dan Mansukh, ianya tidak dapat dilaksanakan disebabkan tidak dapat menentukan hadith mana yang awal dan mana pula yang akhir. (Disamping itu apabila usaha untuk menggabungkan antara dua riwayat boleh dilakukan maka tidak ada hajat kepada Nasikh dan Mansukh.)

Selain terdapat banyak petunjuk dari nabi saw yang baginda memulakan salam dalam bentuk yang mutlak kepada bukan Islam melalui surat-surat baginda yang diutuskan kepada raja-raja yang tidak Islam dalam usaha dakwah baginda antaranya:

i- Surat baginda yang dihantar kepada Najasyi (Raja Habasyah) sebelum Islamnya, baginda memulakan surat baginda dengan menyebut : “Salamun Anta”, kemudian baginda menyerunya kepada Allah yang satu yang tidak ada sekutu bagiNya, kemudian baginda mengakhiri surat baginda dengan menyebut: “wa al-Salam ‘ala manit taba’a al-Huda”

ii- Surat baginda kepada أسقف إيلة , yang baginda memulakan surat baginda dengan menyebut : “Salamun Antum.” kemudian baginda menyerunya kepada Islam.

iii- Surat baginda kepada العباد الاسبذبين , baginda telah memulakan juga surat dengan menyebut : “Salamun Antum”, dan baginda mengakhiri surat dengan menyebut : “wa al-Salam ‘ala manit taba’a al-Huda”.

iv- Surat baginda kepada al-Hilal, pemilik al-Bahrain, dimana baginda memulakan surat dengan menyebut: Salamun Alaikum, dan diakhiri dengan ucapan “wa al-Salam ‘ala manit taba’a al-Huda”.

c-Dua hadith di atas menguatkan bahawasanya orang Islam di zaman Nabi saw menzahirkan salam sebagai beramal dengan nas-nas yang umum terdiri dari al-Quran dan Hadith. Kemudian datang larangan disebabkan, sebab yang khusus. Syeikh Rasyid Redha berkata: “Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir katanya, sabda Nabi saw: :”Sesungguhnya kita esok pagi akan pergi ke perkampungan Yahudi, maka jangan kamu semua memulakan salam kepada mereka, Jika mereka memberi salam kepada kamu, jawablah, ‘wa’alaikum.”, jelas di sini Nabi saw melarang mereka memulakan salam kepada Yahudi kerana salam itu adalah keamanan, baginda tidak suka memberi khabar keamanan kepada mereka sedangkan, mereka tidak selamat daripadanya (ketika itu kerana peperangan), disebabkan pengkhianatan dan pembatalan perjanjian mereka dengan nabi saw…. al-Imam al-Nawawi di dalam syarh sahih muslim telah menukilkan keharusan memulakan salam (kepada bukan Islam) dari Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz, katanya : “Ini dalah satu pendapat dari para sahabat kami.” sepertimana yang dinukilkan dari al-Auzaie, katanya: “JIka kamu memberi salam (kepada orang kafir) maka telah memberi salam orang-orang yang soleh, jika kamu tidak memberi salam (kepada orang kafir) maka telah tidak memberi salam orang-orang yang soleh.”, dan kata al-Nawawi lagi: “al-Qadhi ‘Iyadh menceritakan daripada satu kumpulan (ulama) yang mengharuskan memulakan kepada orang-orang kafir salam disebabkan dharurah, hajat atau sebab, dan inilah pendapat ‘Alqamah dan al-Nakhaie.”

Ibn Hajar al-’Asqalani di dalam Fath al-Bari, juzu’ yang ke11, ms. 33 telah menukilkan daripada Ibn Abi Syaibah, daripada jalan ‘Aun bin Abdillah daripada Muhammad bin Kaab, bahawasanya dia (Muhammad bin Kaab) bertanya kepada ‘Umar bin Abdul Aziz tentang memulakan salam kepada ahli zimmah, jawab ‘Umar bin Abdul Aziz: “KIta menjawab salam mereka dan kita tidak memulakan kepada mereka salam.” Kata ‘Aun: “Bagaimana pandangan anda (Muhammad bin Kaab)?, Jawab beliau: “Aku tidak melihatnya apa-apa untuk kita memulakan salam kepada mereka.” Aku (’Aun) berkata: “Bagaimana itu?”, beliau menjawab: “kerana firman ALlah swt (masudnya): “Maka berpalinglah daripada mereka dan katakanlah Salamun..” (al-Zukhruf: 89)

2- Hadith Imam Muslim dan Abu Daud, bahawasanya para sahabat Nabi saw bertanya kepada baginda:


“sesungguhnya Ahli Kitab memberi salam kepada kami, bagaimanakah kami hendak menjawab salam mereka, sabda nabi saw: Jawablah wa’alaikum.”


Selain hadith ini, ada lagi hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:

“Seorang Yahudi lalu berhampiran dengan Nabi saw, lalu Yahudi tersebut mengucapkan : “al-Saam ‘alaika (kematian/maut untuk engkau), lalu Nabi saw menjawab: “wa’alaik (untuk engkau juga)”, kemudian baginda bersabda: “Apakah kamu semua tahu, apakah yang dikatakan oleh Yahudi tadi? dia berkata : al-Saam ‘alaik (kematian/maut untuk engkau),” para sahabat berkata: ” Wahai rasulullah, mengapa tidak kita bunuh sahaja dia.?” Sabda Nabi saw: “Tidak, Jika ahli kitab memberi salam, maka kamu semua jawablah : “wa’alaik.”

Hadith ini menunjukkan arahan menjawab salam ahli kitab dengan mengucapkan wa’alaik mempunyai illahnya iaitulah jika mereka mengubah lafaz salam bagi tujuan mengelirukan umat Islam. Dr. Khalid Muhammad Abdul Qadir berkata:
“Berdasarkan hadith ini, jika ahli kitab mengubah cara salam mereka yang keji (dengan memberi salam yang betul), maka tidak ada larangan untuk menjawab salam mereka, ini kerana sesuatu hukum itu, berlegar bersama dengan illahnya (sebabnya), samaada wujudnya (illah yang membawa kepada wujudnya hukum) dan ketiadaannya (illah yang membawa kepada hilangnya hukum). Sesungguhnya Nabi saw telah melarang kita dari demikian itu, agar tidak berlaku balasan salam itu dengan doa ke atas kita untuk kematian (dari orang-orang Yahudi), apabial tidak berlaku perkara itu, maka aku (Dr. Khalid Muhammad Abdul Qadir) tidak melihat adanya satu bentuk larangan. Inilah apa yang difahami oleh sekumpulan daripada para Imam.”
Seterusnya Dr. Khalid Muhammad Abdul Qadir menyambung:

“Para ulama sepakat menjawab salam ahli kitab dengan mengucapkan wa’alaikum, berdasarkan sabda Nabi saw : Jika ahli kitab memberi salam, maka kamu semua jawablah : “wa’alaik.” Akan tetapi apakah boleh ditambah lebih daripada jawapan ini? Sekumpulan ulama salaf berpendapat bolehnya menjawab salam orang kafir dengan Wa’alaikum al-Salam, sama seperti jawapan kepada orang muslim, ini adalah pendapat Ibn ‘Abbas, al-Asy’ariy, al-Sya’biy, Qatadah dan al-Mawardi mehikayatkan ianya satu pendapat bagi ulama-ulama mazhab al-Syafie, akan tetapi tidak boleh menambah : Warahmatullah, (sedang ada pendapat lain) dikatakan juga boleh secara mutlak, dengan menjadikan maksud rahmat itu adalah hidayah. Sebaliknya jumhur (kebanyakan) ulama berpendapat, adalah suatu larangan menjawab salam orang kafir dengan Wa’alaikum al-Salam, (akan tetapi) mereka tidak mendatangkan dalil atas pendapat mereka itu melainkan hadith yang lalu (di atas). Aku (Dr. Khalid Muhammad Abdul Qadir) mengatakan: “Akan tetapi (larangan itu) berkaitan dengan sebab, apabila hilangnya sebab, maka tidak ada halangan untuk menjawab salam mereka (orang-orang kafir) dengan Wa’alaikum al-Salam… al-Imam Ibn al-Qayyim berkata: “Jika orang (musim) yang mendengar dengan pasti, seorang kafir mengucapkan salam kepadanya dengan ucapan Assalamu’alaikum, Maka berdasarkan dalil-dalil syara’ dan kaedah-kaedah syara’ jawapan kepadanya (prang kafir itu) ialah: Wa’alaikum al-Salam, sesungguhnya inilah dari bab keadilan dan ihsan, firman Allah swt (maksudnya): “Apabila kamu berikan satu ucap selamat, maka jawablah dengan yang lebih baik daripadanya atau sama dengannya.”


3- Ucapan salam adalah ucapan kasih sayang, maka berkasih sayang kepada orang kafir adalah dilarang sama sekali.

Jawapan kepada kenyatan ini ialah, tidak semestinya ucapan salam itu sebagai menzahirkan rasa kasih sayang, kadang-kadang ianya adalah sebagai ucapan selamat untuk saling berkenalan, apatah lagi seorang muslim yang bertindak sebagai pendakwah, bukankah seorang pendakwah itu disuruh untuk berlembut dan berhikmah di dalam usaha dakwahnya, selain itu berkasih sayang yang dilarang di dalam al-Quran adalah berkasih sayang bersama orang-orang kafir yang memerangi Islam, bukan kesemua orang kafir, buktinya firman Allah swt :


“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya…”
(al-Mujaadilah, ayat 22), demikian juga ayat dari surah al-Mumtahanah ayat satu (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan kamu kerana kamu beriman kepada ALlah…” (sila lihat tulisan Syeikh Faisal Mawlawi al-Salam ‘ala Ahl al-Kitab)

Bukti lain dalam perkara ini, dimana berkasih sayang yang dilarang bukanlah semata-mata orang itu kafir, tetapi kasih sayang yang dilarang itu ialah kepada orang kafir yang memerangi Islam, perkara ini jelas apabila al-Quran membenarkan lelaki Islam berkahwin dengan perempuan Kitabiyah (ahli kitab), Allah berfirman maksudnya:

“Dan Dia (ALLAH) menjadikan antara kamu (suami dan isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat.”
(al-Rum: 21)

Maka dari ayat ini, jika seorang suami mengasihi isterinya yang kitabiah, perbuatan tersebut bukanlah suatu yang terlarang, walaupun isterinya yang kitabiah itu adalah seorang kafir. Dia berkasih sayang dengan isterinya sekadar hak ikatan perkahwinan, bukan atas kekufurannya. Ini menunjukkan larangan berkasih sayang dengan orang kafir itu bukanlah ditujukan kepada semua orang kafir, tetapi ditujukan kepada orang kafir yang memerangi Islam (الكافرون المحاربون).

4- Dakwaan ayat 86 dari surah al-Nisa merujuk kepada jawapan salam kepada sesama islam sahaja adalah tidak tepat. Ini kerana ada sebahagian ulama lain yang berpendapat sebaliknya. al-Imam Ibn Kathir dan al-Tobari menyebut di dalam kitab tafsir mereka pendapat beberapa ulama salaf (yang ramai) yang berpendapat ayat: “maka balaslah yang lebih baik” itu ditujukan kepada orang Islam, manakala ayat: “atau balaslah seumpama dengannya” itu kepada ahli kitab, dan orang-orang kafir. Bahkan ada riwayat daripada Ibn ‘Abbas yang mengatakan: “Sesiapa yang memberi salam kepada kamu, dari makhluk Allah, maka jawablah kepadanya, walaupun ia seorang majusi.” lalu beliau menyebut ayat 86 surah al-Nisa’ ini.

Menyampaikan dakwah Islam adalah tugas utama Umat Islam

Dakwah islam perlu disampaikan kepada orang bukan Islam, ini adalah tanggungjawab kita semua. Cuba tanya kepada diri sendiri berapa orangkah yang telah islam di tangan kita ? Jumlah yang ada di tangan kita itu menunjukkan itulah usaha dakwah kita kepada orang bukan Islam, itupun jika ada, kalau jawapannya tidak ada ? atau ada, tetapi seorang dua sahaja bagaimana ? Hakikatnya itu mengambarkan betapa gagalnya kita menyampaikan dakwah kepada orang yang bukan Islam.

Isu memberi dan menjawab salam adalah isu khilafiah, apabila ada yang berpandangan boleh setelah melihat kepada keperluan mengatakanya boleh, mengapa perlu pandangan itu disanggah ? Ini hanya kerja sia-sia, berkeras dalam isu yang sebenarnya ada ruang untuk kita bertoleransi. Bukankah ada kaedah yang memperakui “Bolehnya berubah sesuatu fatwa, disebabkan berubahnya masa dan tempat.” Mengapa kita belajar tetapi kita tidak memperaktikkannya ?

wassalam

0 comments: