Soalan:
Berkenaan Tawaf
Wada’. Adakah ianya wajib dibuat? Saya disuruh beritahu kepada Jemaah, bahawa
wajib dibuat bagi orang yang tidak ada keuzuran dan jika tidak buat wajib bayar
dam. Saya musykil tentang ni. Boleh ustaz terangkan yang sebenarnya menurut
ASWJ?
Jawapan:
Hukum Tawaf
Wada’ (طواف
الوَداع) adalah WAJIB. Inilah pandangan yang dipilih dan ia bertepatan
dengan pandangan Majoriti Ulama. Sekalipun tidak dinafikan wujud perbezaan
pandangan di kalangan ulama, maka di bawah ini disertakan huraian secara
ringkas:
1) Jumhur (majority) ulama berpandangan ia wajib, dan
tidak gugur kewajipannya melainkan bagi wanita berhaid berdasarkan hadis Nabi
SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn ‘Abbas RA yang
berkata:
أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ
خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ
Maksudnya: “Orang
ramai diarah menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan
umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita
berhaid.”
Di dalam al-Mustadrak
pula Ibn ‘Abbas berkata:
كَانَ النَّاسُ يَنْفِرُونَ مِنْ مِنًى إِلَى وُجُوهِهِمْ ، فَأَمَرَهُمْ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَكُونَ آخِرُ
عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ ، وَرَخَّصَ لِلْحَائِضِ
Maksudnya: “Dahulunya
orang ramai bergerak pulang dari Mina ke laluan mereka masing-masing. Lalu Rasulullah
SAW mengarah mereka untuk menjadikan perkara terakhir mereka ialah Tawaf di
Kaabah dan baginda memberi keringanan kepada wanita berhaid.”
Ibn ‘Abbas RA
juga berkata:
كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِي كُلِّ
وَجْهٍ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَنْفِرُ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Dahulunya
orang ramai bergegas pulang ke laluan masing-masing (dari Mina). Lalu Rasulullah
SAW bersabda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang,
sehinggalah dia menjadikan perkara terakhir yang dilakukannya ialah Tawaf di
Baitullah.” (HR Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)
Al-Syaukani
ketika menerangkan maksud hadis ini berkata:
Maksudnya: “Perkaraan
baginda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang..” sehingga ke
akhirnya. Ia merupakan bukti wajibnya Tawaf al-Wada’. Kata al-Nawawi: Ia adalah
pandangan kebanyakan ulama, wajib Dam bagi yang meninggalkannya…” (Nail
al-Awtor 5/106)
Justeru berdasarkan
pendapat majority ulama ini, maka sesiapa yang meninggalkan tawaf wada’ bukan
disebabkan haid, wajib ke atasnya DAM sama seperti orang-orang yang
meninggalkan salah satu daripada wajib haji yang lain.
2) Namun di sisi para ulama mazhab Maliki Tawaf al-Wada’
adalah Sunnah (Sunat). Sesiapa yang meninggalkannya tidak mengapa. Mereka berdalilkan
dengan rukhsah (keringan) yang baginda berikan kepada wanita berhaid untuk
meninggalkan Tawaf al-Wada’. Mereka berkata: Sekiranya Tawaf Wada’ itu wajib,
baginda tidak akan memberi rukhsah kepada wanita berhaid
meninggalkannya. Sama sepertimana tiada keringanan atau rukhsah bagi wanita berhaid dan yang
lainnya meninggalkan perkara lain terdiri dari wajib-wajib haji. Apa-apa yang
ditinggalkan (dari perkara-perkara wajib haji) sekalipun kerana terpaksa
hendaklah ditampung dengan Dam.
Jika diperhatikan
kepada penghujahan setiap ulama, kesemuanya kuat dari sudut pendalilan. Namun mengambil pandangan majority ulama dalam persoalan seumpama ini
adalah lebih AHWATH (langkah berhati-hati).
Al-Syaukani
berkata:
وقال مالك وداود وابن المنذر: هو سنة لا شيء في تركه. قال
الحافظ: والذي رأيته لابن المنذر في الأوسط أنه واجب للأمر به إلا أنه لا يجب
بتركه شيء. انتهى، وقد
اجتمع في طواف الوداع أمره صلى الله عليه وسلم به ونهيه عن تركه وفعله الذي هو
بيان للمجمل الواجب ولا شك أن ذلك يفيد الوجوب
Maksudnya: “berkata
Malik, Abu Daud dan Ibn al-Munzir: “Ia (Tawaf Wada’ itu) adalah Sunnah (sunat),
tidak mengapa meninggalkannya.” Berkata al-Hafidz: “dan yang daku lihat bagi
Ibn al-Munzir (pandangannya) di dalam al-Awsath adalah wajib disebabkan arahan
(baginda SAW), melainkan beliau (Ibn al-Munzir) berpandangan tidak perlu apa-apa
(Dam) jika meninggalkannya.” Telah terhimpun perintah baginda SAW untuk
melakukan Tawaf al-Wada’ dan larangan meninggalkannya, demikian juga perbuatan
baginda yang merupakan penjelas kepada himpunan perkara-perkara yang wajib. Maka
tidak ragu lagi bahawa perkara itu menghasilkan hukum wajib…” (Nail
al-Awthar 5/106)
Berdasarkan huraian
yang diberikan ini, ia menunjukkan persoalan ini termasuk dalam persoalan
ijtihad. Maka TIDAK MENGAPA bagi sesiapa yang berbeza dengan pandangan yang
dipilih ini.
Wallahu a’lam.
1 comments:
Apakah larangan semasa tawaf wada
Post a Comment