Soalan:
Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal
soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu
(yang serba mewah). (al-Kahfi: 107)
Persoalannya, apakah maksud iman? Bagaimana pula saya dapat
tergolong dalam golongan yang beriman yang dimaksudkan di dalam ayat? Apakah
jika saya telah melaksanakan kesemua rukun-rukun iman yang enam bermakna saya
telah memenuhi salah satu syarat bagi melayakkan diri memasuki syurga firdaus
yang tertinggi? Apakah pula maksud “dan beramal soleh”, apakah ia
memaksudkan memperbanyakkan amalan soleh atau bagaimana? Mohon penjelasan dari
ustaz, terima kasih.
Jawapan:
Seorang lelaki pernah bertanya kepada al-Hasan al-Basri dengan
berkata: “Wahai Aba Sa’ied (gelaran untuk al-Hasan al-Basri), Apakah kamu
seorang yang beriman?” jawab al-Hasan al-Basri: “Iman itu ada dua, jika
kamu maksudkan dari pertanyaan kamu ini tentang iman kepada Allah, malaikat,
kitab-kitab, para rasul, syurga dan neraka, hari kiamat dan hisab, maka aku
adalah seorang yang beriman terhadap semua perkara tersebut. Namun jika kamu
maksudkan pertanyaan kamu itu bersesuaian dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang
sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan
sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah
mereka berserah. Iaitu orang-orang Yang mendirikan sembahyang dan Yang
mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka. merekalah
orang-orang Yang beriman Dengan sebenar-benarnya. mereka akan mendapat
pangkat-pangkat Yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah
kurnia Yang mulia (di Syurga).” (al-Anfal: 2-4) maka demi Allah, daku
sendiri tidak tahu apakah daku termasuk dari kalangan mereka ataupun tidak.” (Sila
lihat tafsir al-Qurtubi)
Berdasarkan kenyataan ini, kita dapat katakan bahawa seseorang yang
beriman itu dapat memasuki daerah iman dengan hanya penyaksian tauhid dan
kerasulan, pengakuan, pengamalannya akan rukun-rukun iman dan Islam disamping
bebas dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan Islam dan iman sama
ada dengan perkataan mahupun amalan. Bukti kenyataan saya ini adalah
berdasarkan hadis Nabi SAW:
أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا: لا إله إلا الله، فإذا قالوا
لا إله إلا الله عصموا مني دماءهم وأموالهم إلا بحقها وحسابهم على الله
Maksudnya: “Aku diarahkan untuk memerangi manusia, sehinggalah
mereka mengucapkan tiada tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan
Allah. Jika mereka semua menyatakannya, terpeliharalah darah dan harta benda
mereka melainkan dengan haknya, manakala ukuran sebenar mereka adalah terserah
kepada Allah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Setelah itu keimanan seseorang muslim dapat bertambah teguh dan kukuh
berdasarkan sejauh mana kesempurnaan penyerahan dirinya kepada tuhannya, sekuat
mana kesungguhannya menghiaskan diri dengan cabang-cabang iman yang berbagai.
Sama juga iman seseorang boleh menjadi lemah berdasarkan sejauh mana maksiat
yang dilakukannya dan pengabaiannya terhadap ketaatan kepada Allah dan Rasul.
Kerana itu Nabi SAW bersabda:
الإيمان بضع وسبعون، أو بضع وستون شعبة, فأفضلها: قول لا إله
إلا الله ـ وأدناها: إماطة الأذى عن الطريق
Maksudnya: “Iman itu ada lebih dari 70 cabang (antara 73-79
cabang), atau lebih dari 60 cabang (antara 63-69 cabang), yang paling utama
ialah ungkapan Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah, dan yang
paling kecil sekali ialah menghilangkan duri (sesuatu yang menyakiti) dari
jalan.” (HR Muslim)
Al-Imam Ibn al-Qayyim berkata di dalam kitab al-Solah:
Maksudnya: “Iman itu adalah satu asal yang memiliki berbagai
cabang, setiap cabang dinamakan iman, maka solat termasuk di dalam iman,
demikian juga dengan zakat, haji, puasa dan amalan-amalan batin terdiri dari rasa
malu dan tawakkal.”
Adapun berkaitan dengan amalan-amalan soleh, jika ia terdiri dari
amalan yang wajib dilaksanakan, meninggalkannya menjadi sebab berkurangannya
iman. Manakala amalan-amalan sunat pula meninggalkannya menjadi sebab terlepas
dari memperolehi kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Syeikh al-Islam Ibn
Taimiyyah berkata:
الإيمان مركب من أصل لا يتم بدونه, ومن واجب ينقص بفواته نقصا
يستحق صاحبه العقوبة, ومن مستحب يفوت بفواته علو الدرجة, فالناس فيه ظالم لنفسه,
ومقتصد, وسابق
Maksudnya: “Iman itu tersusun dari asal yang tidak akan
terlaksana tanpanya, terdiri dari kewajipan yang menjadi sebab berkurangan iman
dengan meninggalkannya sehingga pelakunya berhak menerima hukuman, terdiri juga
dari perkara sunat yang dengan terlepas dari melakukannya terlepaslah
kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Maka manusia ada yang menzalimi dirinya sendiri, ada pula yang pertengahan dan
ada pula yang terkehadapan.”
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment