Tuesday, September 17, 2013

Apakah Perbezaan Antara Seorang Muslim Dengan Seorang Mukmin?

Soalan:

Apakah perbezaan antara seorang mukmin dengan seorang muslim, apakah setiap muslim itu dikira sebagai seorang mukmin?

Jawapan:

Kaedah  yang disebutkan oleh para ulama ialah kedua-dua kalimah ini jika berada di dalam sesuatu ayat, maka setiap satu darinya membawa maksud yang tersendiri, manakala jika salah satunya sahaja yang disebut maka ia mengandungi maksud kedua-duanya.

Justeru, jika terdapat kedua-dua kalimah Islam dan Iman dalam satu ayat, maka ketika itu kalimah islam memaksudkan amalan-amalan zahir, manakala kalimah iman memaksudkan pula kepada amalan-amalan batin terdiri dari I’tiqad dan keyakinan jantung hati. Kerana itu kita dapati terdapat ayat al-Quran:

Maksudnya: “orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke Dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` Kami telah Islam' " (al-Hujuraat: 14).

Adapun jika dalam sesuatu ayat hanya disebut kalimah Islam, maka ia memaksudkan makna Islam dan Iman sekalugus sepertimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (amalan zahir dan batin).” (Ali Imran: 19)

Demikian juga jika kalimah iman sahaja yang disebut di dalam sesuatu ayat maka ia memaksudkan iman dan Islam seperti firman Allah SWT:

Maksudnya: “dan sesiapa Yang ingkar dengan keimanan (mengingkari iman dan Islam yang merangkumi amalan zahir dan batin), maka Sesungguhnya terbatallah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.” (al-Maidah: 5)

Berdasarkan keterangan ini menunjukkan setiap orang mukmin itu adalah muslim, manakala bukan setiap orang muslim itu mukmin. Kerana itu orang-orang munafik iaitulah mereka yang menzahirkan amalan islam namun di dalam jantung harinya menyembunyikan kekufuran, mereka dikira sebagai muslim pada hukuman dunia, namun kufur di sisi Allah SWT, jika mereka mati berterusan dalam keadaan kemunafikan tersebut, mereka termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi.

Wallahu a’lam.

0 comments: