Soalan:
Apakah perbezaan
antara seorang mukmin dengan seorang muslim, apakah setiap muslim itu dikira
sebagai seorang mukmin?
Jawapan:
Kaedah yang disebutkan oleh
para ulama ialah kedua-dua kalimah ini jika berada di dalam sesuatu ayat, maka
setiap satu darinya membawa maksud yang tersendiri, manakala jika salah satunya
sahaja yang disebut maka ia mengandungi maksud kedua-duanya.
Justeru, jika terdapat kedua-dua kalimah Islam dan Iman dalam satu
ayat, maka ketika itu kalimah islam memaksudkan amalan-amalan zahir, manakala
kalimah iman memaksudkan pula kepada amalan-amalan batin terdiri dari I’tiqad
dan keyakinan jantung hati. Kerana itu kita dapati terdapat ayat al-Quran:
Maksudnya: “orang-orang " A'raab" berkata: " Kami
telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman,
(janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke
Dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` Kami telah Islam' " (al-Hujuraat:
14).
Adapun jika dalam sesuatu ayat hanya disebut kalimah Islam, maka ia
memaksudkan makna Islam dan Iman sekalugus sepertimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi
Allah ialah Islam (amalan zahir dan batin).” (Ali Imran: 19)
Demikian juga jika kalimah iman sahaja yang disebut di dalam
sesuatu ayat maka ia memaksudkan iman dan Islam seperti firman Allah SWT:
Maksudnya: “dan sesiapa Yang ingkar dengan keimanan (mengingkari
iman dan Islam yang merangkumi amalan zahir dan batin), maka Sesungguhnya terbatallah
amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang
rugi.” (al-Maidah: 5)
Berdasarkan keterangan ini menunjukkan setiap orang mukmin itu
adalah muslim, manakala bukan setiap orang muslim itu mukmin. Kerana itu
orang-orang munafik iaitulah mereka yang menzahirkan amalan islam namun di
dalam jantung harinya menyembunyikan kekufuran, mereka dikira sebagai muslim
pada hukuman dunia, namun kufur di sisi Allah SWT, jika mereka mati berterusan
dalam keadaan kemunafikan tersebut, mereka termasuk dari kalangan orang-orang
yang rugi.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment