Soalan:
Apakah suami berhak menetapkan pada hari raya pertama mesti beraya
di rumah keluarganya terlebih dahulu? Sebaliknya pada hari raya kedua baru
pergi ke rumah keluarga isteri?
Jawapan:
Allah SWT mengarahkan kepada kedua-dua pasangan suami isteri untuk
bergaul dengan cara yang baik di dalam firmanNya:
Maksudnya: “dan bergaulah kamu Dengan mereka (isteri-isteri kamu
itu) Dengan cara Yang baik.” (al-Nisa’: 19)
Termasuk dalam ertikata pergaulan yang baik dari kedua-dua pihak
ialah masing-masing bersungguh-sungguh berusaha untuk mewujudkan persefahaman
sesama mereka dan menjauhi perbalahan dan pertelingkahan, saling beralah,
bersikap lemah lembut dan menjalani kehidupan berumah tangga dengan penuh
kesabaran dan bertolak-ansur.
Namun jika perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Maka ketaatan
dari seorang isteri adalah dituntut dan didahulukan. Hal ini kerana mentaati
suami yang meminta beraya di rumahnya terlebih dahulu bukanlah termasuk
maksiat. Agama Islam telah memberikan hak yang cukup besar untuk seorang suami
setelah memikulkan kepada mereka tanggungjawab yang cukup besar juga dalam
berumahtangga. Sebaliknya agama telah memberi keringanan kepada para isteri yang
tidak diberikan kepada para suami. Nabi SAW bersabda:
إذا صلت المرأة خمسها، وصامت شهرها، وحصنت فرجها، و
أطاعت بعلها، دخلت من أي أبواب الجنة شاءت
Maksudnya: “Jika seseorang wanita itu menunaikan solat 5 waktu,
berpuasa bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, taat kepada suaminya, dia
boleh masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (HR
Ahmad di dalam Musnadnya, demikian juga Ibn Hibban di dalam Sahihnya)
Selain dari hadis ini banyak lagi hadis-hadis lain yang sahih dengan
jelas menunjukkan wajibnya seorang isteri memberikan ketaatannya kepada suami yang
memiliki hak yang besar darinya. Kerana itu syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata
di dalam Majmu’ al-Fatawa:
المرأة إذا تزوجت، كان زوجها أملك بها من
أبويها، وطاعة زوجها عليها أوجب
Maksudnya: “Seorang wanita yang telah berkajwin, suaminya adalah
lebih berhak terhadapnya berbanding kedua ibu-bapanya, taat kepada suaminya adalah
lebih wajib.” Kata beliau lagi:
فليس لها أن تخرج من منزله إلا بإذنه، سواء أمرها أبوها، أو
أمها، أو غير أبويها، باتفاق الأئمة
Maksudnya: “Si isteri juga tidak boleh keluar dari rumah melainkan
hendaklah mendapat izin dari suaminya terlebih dahulu, sama ada bapanya yang mengarahkan
atau ibunya atau selain dari keduanya dengan kesepakatan para imam.”
0 comments:
Post a Comment