SESUATU YANG
Sesunggunya sesuatu yang ada asas di dalam agama tidak dikira sebagai bid’ah.
Terdapat beberapa perkara yang direka-cipta oleh umat Islam yang ada asas di dalam agama. Contohnya penulisan al-Quran, dan menghimpunkannya di dalam satu Mashaf, seperti yang dilakukan oleh Abu Bakr dengan cadangan daripada ‘Umar Radhiallahu ‘anh.
Di peringkat awal, Abu Bakr tidak bersetuju dengan cadangan ini, beliau berkata:
كَيْفَ أفْعَلُ أمْرًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم؟
Maksudnya: “Bagaimana saya akan lakukan satu perkara yang belum pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam?”
Akan tetapi, ‘Umar terus mencuba mengajukan cadangannya sehinggalah Abu Bakr bersetuju[1], kerana perkara ini memiliki kebaikan dan maslahah sekalipun ia tidak dilakukan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam Sesungguhnya datangnya agama untuk memelihara al-Quran, dan al-Quran itu adalah asas, sumber dan dasar utama agama yang kekal abadi. Maka semestinya kita memeliharanya dari sebarang kehilangan dan dari sebarang keraguan.
Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengizinkan penulisan wahyu ketika ia diturunkan, baginda memiliki para penulis wahyu, yang berperanan menulis setiap ayat al-Quran yang diturunkan kepada baginda. Semua ini bertujuan memelihara al-Quran.
Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak menghimpunkan al-Quran keseluruhannya di dalam satu mashaf ketika hayat baginda, kerana al-Quran belum sempurna diturunkan, ia masih berterusan turun dan Allah Subhanahu wa Taala akan mengubah (apa-apa hukum) yang dikehendakiNya. Sekiranya ketika itu dihimpunkan al-Quran di dalam satu mashaf, sudah pasti akan menyukarkan kerja merubahnya pada setiap waktu, (dimana) kadangkala turunnya ayat dan diarahkan ayat tersebut di letakkan di dalam sesuatu surah, dan sesuatu surah itu belum diketahui sempurnanya, melainkan setelah sempurnanya penurunan al-Quran.
Surah al-Baqarah – sebagai contoh – turun pada permulaan tempoh di Madinah, dan penurunannya tidak lengkap melainkan setelah lapan tahun berikutnya, bahkan di dalamnya ada beberapa ayat yang dianggap oleh para ulama sebagai ayat-ayat akhir yang diturunkan seperti riwayat daripada Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘anh yang menyebut ayat al-Quran yang terakhir diturunkan ialah firman Allah Subhanahu wa Taala:
(#qà)¨?$#ur $YBöqt cqãèy_öè? ÏmÏù n<Î) «!$# ( §NèO 4¯ûuqè? @ä. <§øÿtR $¨B ôMt6|¡2 öNèdur w tbqãKn=ôàã ÇËÑÊÈ
Maksudnya: “Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua akan dikembalikan kepada Allah. kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya.” (al-Baqarah: 281)
Di sini terdapat halangan, oleh itu Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam melarang dari dihimpun al-Quran (di dalam satu mashaf). Apabila al-Quran telah sempurna dengan kewafatan baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam dan para Sahabat tahu tidak ada lagi penambahan dan pengurangan al-Quran, maka mereka mula menulis al-Quran dan menghimpunkannya di dalam satu mashaf.
Oleh itu, kerja penghimpunan al-Quran ini ada asas di dalam Syarak yang menunjukkannya. Maka ia tidak boleh dikira sebagai bid’ah.
Termasuk dalam perkara ini, apa yang dilakukan oleh ‘Umar Radhiallahu ‘anh yang menghimpunkan orang ramai dalam bulan Ramadhan, mengikut seorang imam Ubai bin Ka’ab untuk menunaikan solat Tarawih. Sedangkan sebelum itu, para Sahabat menunaikan solat Tarawih secara berjemaah yang terpisah-pisah.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Qari yang berkata:
خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ لَيْلَةً فِيْ رَمَضَانَ إِلى الْمَسْجِدِ، فَإذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُوْنَ، يُصَلِّيْ الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ، وَيُصَلِّيْ الرَّجُلُ فَيُصَلِّيْ بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ، فَقَالَ عُمَرُ: إنِّيْ أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئِ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ، ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلى أُبَيْ بْنِ كَعْبٍ، ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّوْنَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ، فَقَالَ عُمَرُ: نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ، وَالَّتِيْ يَنَامُوْنَ عَنْهَا أفْضَلُ مِنْ الَّتِيْ يَقُوْمُوْنَ، يُرِيْدُ آخِرَ الْلَيْلِ، وَكَانَ النَّاسُ يَقُوْمُوْنَ أَوَّلَهُ
Maksudnya: “Satu malam dalam bulan Ramadhan saya keluar bersama dengan ‘Umar menuju ke masjid. Di masjid kami dapati orang ramai menunaikan solat secara terpisah-pisah. Ada yang solat bersendirian, ada pula sekumpulan kecil yang solat mengikut seorang imam. Lalu ‘Umar berkata: “Saya berpendapat, sekiranya saya dapat menghimpunkan mereka menunaikan solat Tarawih dengan seorang imam, perkara itu adalah lebih baik.” Setelah itu beliau benar-benar melakukannya, dan beliau menghimpunkan mereka berimamkan Ubai bin Ka’ab. Setelah itu pada malam yang lain, saya keluar lagi bersama dengan ‘Umar, orang ramai sedang menunaikan solat Tarawih dengan seorang Imam (Ubai bin Ka’ab), lalu ‘Umar berkata: “Sebaik-baik Bid’ah adalah yang ini”[2] dan solat yang ditunaikan pada akhir malam itu adalah lebih utama dari awalnya,[3] dan orang ramai menunaikannya pada awal malam.”[4]
Maka kalimah Bid’ah dari ungkapan ‘Umar di sini:
نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ
Maksudnya: “Sebaik-baik Bid’ah adalah yang ini”[5]
Membawa maksud dari sudut bahasa, bukan dari sudut Syarak. Ini kerana bid’ah dari sudut bahasa bermaksud: “Setiap apa yang direka, tanpa ada contoh yang terdahulu dalam bentuknya.” Maka ‘Umar memaksudkan di sini, orang ramai tidak berhimpun (solat Tarawih) dalam bentuk seumpama yang dilakukannya (mengikut seorang Imam) sebelum itu. Sekalipun asas perhimpunan (menunaikan solat Tarawih itu) telah berlaku di zaman Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, kerana baginda telah memberi galakan mendirikan solat Tarawih, dan orang ramai telah mengikuti solat baginda lebih dari satu malam. Kemudian apabila baginda lihat orang semakin ramai menunaikan solat di belakang baginda, baginda tidak lagi keluar untuk mengimamkan solat mereka. Apabila Subuh baginda bersabda:
رَأَيْتُ الَّذِيْ صَنَعْتُمْ فَلَمْ يَمْنَعْنِيْ مِنْ الْخُرُوْجِ إِلَيْكُمْ إلاَّ أَنِّيْ خَشِيْتُ أنَ تُفْتَرِضَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Saya telah melihat apa yang kamu semua lakukan, tiada yang menghalang saya dari keluar (untuk mengimami solat) melainkan saya bimbang ia (Solat Tarawih) akan difardhukan ke atas kamu semua.”[6]
Kebimbangan Allah menurunkan hukum wajib atau fardhu ke atas solat Tarawini ini hilang dengan kewafatan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam Oleh itu hilanglah larangan dari melaksanakan ia secara berjemaah.[7]
Yang pentingnya ialah, makna “Yang direka” (المخترعة) apabila tidak ada asal di dalam Syarak yang menunjukkan perkara tersebut.
[1] Sama dengan pendirian awal Zaid bin Thabit yang diarahkan oleh Abu Bakr untuk menulis dan menghimpunkan al-Quran. Namun setelah Abu Bakr berterusan mencadangkannya sehinggalah Allah melapangkan dada beliau, sepertimana Allah melapangkan dada Abu Bakr dan ‘Umar dalam perkara ini.
[2] Al-Syatibi berkata: “Sesungguhnya ‘Umar menamakan perbuatannya itu sebagai Bid’ah pada ukuran zahir keadaan perbuatan tersebut. Iaitulah dari sudut Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan solat Tarawih berjemaah (setelah ia dilakukan berjemaah pada malam-malam awal Ramadhan). Dan telah disepakati, (solat Tarawih berjemaah) tidak terjadi di zaman Abu Bakr Radhiallahu ‘anh bukan disebabkan ia Bid’ah dari sudut makna. Maka sesiapa yang menamakannya bid’ah pada ukuran ini, tidak dibantah dalam penamaannya.” al-I’tisom 1/195
[3] [Tambahan dari penterjemah] al-Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman al-Jibrin berkata:
"...ثم أخبر بأن التي ينامون عنها -وهي صلاة آخر الليل- أفضل من هذه التي يُصلونها في أول الليل، وذلك لأن آخر الليل وقت النزول الإلهي، فيكون قيامه أفضل، ولكن قد يكون فيه مشقة على كثير من الناس، فيستسهلون قيام أول الليل
Maksudnya: “Kemudian beliau mengkhabarkan, bahawa solat yang mereka tidur darinya – iaitulah solat pada penghujung malam – lebih afdhal dari solat yang mereka dirikan pada awal malam. Ini kerana pada akhir malam adalah waktu turunnya Ilahi, maka jadilah bangun pada waktu itu adalah lebih utama, akan tetapi kadangkala ia menjadi kesukaran untuk setiap orang melakukannya, maka mereka merasa mudah bangun pada awal malam.” Fatwa bil: 2686 dari laman: http://ibn-jebreen.com/
[4] Riwayat al-Bukhari
[5] Al-Syatibi berkata: “Sesungguhnya ‘Umar menamakan perbuatannya itu sebagai Bid’ah pada ukuran zahir keadaan perbuatan tersebut. Iaitulah dari sudut Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan solat Tarawih berjemaah (setelah ia dilakukan berjemaah pada malam-malam awal Ramadhan). Dan telah disepakati, (solat Tarawih berjemaah) tidak terjadi di zaman Abu Bakr Radhiallahu ‘anh bukan disebabkan ia Bid’ah dari sudut makna. Maka sesiapa yang menamakannya bid’ah pada ukuran ini, tidak dibantah dalam penamaannya.” al-I’tisom 1/195
[6] [Tambahan penterjemah] Daripada ‘A-isyah r.’anha:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صلى في المسجد ذات ليلة فصلى بصلاته ناس ثم صلى من القابلة فكثر الناس ثم اجتمعوا من الليلة الثالثة أو الرابعة فلم يخرج إليهم رسول الله صلى الله عليه وسلم فلما أصبح قال قد رأيت الذي صنعتم فلم يمنعني من الخروج إليكم إلا أني خشيت أن تفرض عليكم قال وذلك في رمضان
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menunaikan solat (Tarawih) di masjid pada suatu malam, lalu solat di belakang baginda sekumpulan orang, kemudian pada keesokan harinya baginda solat dan orang semakin bertambah, kemudian orang ramai berkumpul untuk solat bersama baginda pada malam ketiga atau keempat, akan tetapi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar kepada mereka. Apabila Subuh baginda bersabda: “Sesungguhnya saya telah melihat apa yang kamu semua lakukan, dan tiadalah yang menghalang saya dari keluar kepada kamu semua melainkan saya bimbang solat ini akan difardhukan ke atas kamu.” Baginda nyatakan perkara itu ketika dalam bulan Ramadhan.” (Riwayat Muslim. Sila lihat Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, Jilid:2, hal: 379, Bil. Hadith: 761)
[7] Al-Syatibi berkata: “Maka perhatikanlah, di dalam hadith ini ada sesuatu yang menunjukkan kedudukan solat Tarawih berjemaah itu adalah sunnah, kerana sesungguhnya baginda mendirikannya bersama para sahabat di peringkat awalnya merupakan bukti sahnya mendirikan solat Tarawih di masjid secara berjemaah. Halangan dari baginda keluar pada malam berikutnya kerana bimbangkan dihukum fardhu, ia tidak menunjukkan larangan secara umum, kerana zaman baginda adalah zaman wahyu dan pensyariatan, maka barangkali akan diwahyukan (kewajipan solat Tarawih) kepada baginda apabila orang ramai melaksanakannya dengan bersungguh. Maka apabila hilangnya ‘Illah pensyariatan dengan kewafatan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam kembalilah perkara itu (hukum solat Tarawih berjemaah) kepada asalnya. Maka telah tetaplah hukum keharusan ini dan tiada yang membatalkannya.” Al-I’tisom: 1/194
No comments:
Post a Comment