Tuesday, February 23, 2010

Hukum Dua Jemaah Dalam Satu Masjid



Soalan dari: wantp

Assalamualaikum ya ustaz..

Di sini saya ingin mengemukakan satu kemaslahatan yang bermain dalam minda saya..

Baru-baru ini, saya ada mendengar satu persoalan agama yang diutarakan oleh seorang pendengar kepada seorang ustaz. Persoalan ini saya dengar dari audio yang dimuat turun melalui internet. Persoalan yang diutarakan ialah, adakah boleh sekumpulan jemaah mendirikan solat fardhu secara berjemaah setelah selesai imam di sesebuah masjid itu telah selesai mengerjakan solat fardhu tersebut? Mengikut jawapan yang diberi, haram bagi sekumpulan jemaah mendirikan jemaah yang baru setelah selesai imam masjid tersebut selesai mendirikan solat fardhu tersebut.. Hukum ini dikatakan daripada Imam Syafie sendiri di mana jika terdapat imam dan muazzin yang telah dilantik secara rasmi oleh pemerintah dan penduduk sekitar, maka solat fardhu untuk jemaah yang baru selain jemaah yang mengikuti solat daripada imam rasmi masjid tersebut adalah haram untuk didirikan.. Adakah benar pendapat ini kerana saya telah membaca di beberapa artikel internet mengatakan ulama berbeza pendapat tentang masalah ini.

Bolehkah ustaz terangkan.. Sekian, harap maklum..

Jawapan:

Kami berpandangan mendirikan solat jemaah kali kedua setelah solat jemaah pertama didirikan bersama imam masjid, sebahagiannya ada yang dilarang dan sebahagiannya dibenarkan.

Perincian persoalan ini adalah seperti berikut:

Bentuk yang dilarang adalah seperti:

1. Wujud sekumpulan jemaah yang semenagnya berpakat untuk mendirikan solat jemaah setelah selesainya solat jemaah kali pertama yang didirikan bersama imam masjid yang dilantik.

2. Solat jemaah kedua itu dilakukan berterusan dan ada waktu tertentu yang membezakan solat kedua-dua jemaah tersebut.

Kedua-dua bentuk yang disebut di atas ini jelas suatu yang dilarang di dalam agama kerana ia akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

Bentuk yang diperselisihkan hukumnya di kalangan ulama:

Para ulama berbeza pandangan tentang jemaah yang didirikan kali kedua tanpa pakatan sebaliknya ia berlaku secara kebetulan seperti sekumpulan yang baru sampai ke masjid dari permusafiran atau seumpamanya. Apakahb mereka boleh mendirikan solat jemaah kali kedua ataupun tidak. Pandangan yang lebih kuat ialah BOLEH bahkan sunat kumpulan tersebut mendirikan solat secara berjemaah untuk memperolehi kelebihan pahala berjemaah.

Di bawah ini saya nukilkan perkataan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin r.h. Setelah beliau menyebut dua bentuk solat jemaah kedua ini, beliau berkata :

Maksudnya: “Adapun bentuk yang pertama, dimana di masjid adanya dua jemaah yang berterusan mendirikan solat berasingan, jemaah yang pertama dan kedua. Maka perbuatan ini tidak diragukan lagi adalah suatu yang dibenci, sekalipun kami tidak mengatakannya haram. Kerana perbuatan itu adalah bid’ah tidak diketahui ia berlaku di zaman Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda.

Kedaan ini sama seperti yang berlaku di masjid al-Haram dahulunya sebelum ia diperintah oleh kerajaan Saudiah. Dahulunya di masjid al-Haram ada empat jemaah solat, setiap jemaah ada imam solat mereka. Imam mazham Hambali, dia akan solat seperti cara mazhab Hambali, Imam Mazhab al-Syafie akan solat pula seperti cara mazhab al-Syafie, demikian imam mazhab Maliki akan solat dengan cara mazhab maliki dan imam mazhab Hanafi akan solat dgn cara solat mazhab hanafi.

Mereka akan katakana: Ini maqam al-Syafie, ini pula maqam Maliki, ini pula maqam Hanafi dan ini pula maqam Hambali. Akan tetapi raja ‘Abd al-‘Aziz (semoga Allah memberi balasan pahala kepadanya) apabila dia memasuki Makkah, dia berkata: Perbatan ini boleh memecah-belahkan umat Islam. Dia maksudkan umat Islam berpecah-belah di dalam satu masjid. Perkara ini tidak sewajarnya berlaku.Lalu beliau menghimpunkan mereka dengan Imam yang satu…”

Kemudian al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebut bentuk yang kedua dan berliau berkata:

Maksudnya: “Adapun bentuk yang kedua, ia berlaku secara mendatang, iaitu Imam tetap yang dilantik dialah yang mendirikan solat bersama jemaah masjid. Akan tetapi kadang-kadang dua atau tiga orang atau lebih ada yang terlambat disebabkan sesuatu keuzuran. Maka keadaan ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Sebabahagian ulama berpendapat: Tidak diulangi jemaah kali kedua, sebaliknya hendaklah ditunaikan solat secara sendirian.

Sebahagian ulama yang lain berpandangan: Boleh diadakan jemaah kali kedua. Dan inilah pandangan yang benar. Inilah juga pandangan mazhab Hanabilah,(antara) dalilnya:

Hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmiz yang menceritakan suatu hari Nabi s.a.w. duduk bersama para sahabat baginda. Tiba-tiba masuk seorang lelaki setelah selesai solat jemaah didirikan. Lalu baginda bersabda:

من يتصدق على هذا فيصلي معه ؟

Maksdunya: “Siapa yang hendak bersedekah kepada lelaki ini, dengan dia solat bersama dengannya.” – agar lelaki itu mendapat pahala jemaah –

Lalu salah seorang dari sahabat baginda bangun dan solat bersama lelaki tersebut.

Hadith ini dengan jelas menunjukkan berlakunya solat jemaah kali kedua selepas selesainya jemaah bersama imam tetap yang dilantik.
– tamat nukilan secara ringkas dari al-Syarh al-Mumti’ 4/227-231) –


Wallahu a’lam.
Abdul Kadir

1 comments:

ainnurmawar said...

Assalamualaikum...saya ada satu soalan berkenaan dengan imam ..baru baru ini kwn kwn saya(perempuan) menunaikan solat berjemaah sesama perempuan dan imam nya perempuan sebab waktu itu pelajar lelaki tiada. Semasa tengah solat kemudian datang beberapa orang pelajar lelaki kelas lain ke surau lalu solat berjemaah dan ada imam..sedangkan waktu itu kami pelajar perempuan belum habis solat. Bolehkah ada 2 imam dalam satu tempat???