Monday, November 30, 2009

Kebenaran Suatu Yang Amat Jelas



Oleh: Bin Sahak

Di dalam sebuah hadith, Nabi S.A.W. menyifatkan kebenaran yang dibawanya adalah suatu yang amat jelas. al-‘Irbath ibn Sariah meriwayatkan sebuah hadith yang diucapkan di saat-saat akhir hayat baginda S.A.W. Kata al-‘Irbath: “Rasulullah S.A.W. telah memberi peringatan kepada kami, dengan satu peringatan yang berupaya mendebarkan hati, dan mengalirkan air mata. Lalu kami bertanya wahai Rasulullah, sesungguhnya peringatan ini (seolah-olah) peringatan selamat tinggal, maka apakah yang hendak engkau pesankan kepada kami. Baginda bersabda: Sesungguhnya telah aku tinggalkan kamu semua di atas suatu yang amat jelas, jelas bagaikan perbezaan antara malam berbanding siang, tidak ada yang terpesong darinya selepas ketiadaan-ku melainkan mereka yang binasa.” Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya, dan ia sebuah hadith yang dinilai sahih oleh al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah.

Hadith ini menunjukkan, kebenaran yang dibawa oleh Nabi S.A.W. adalah suatu yang amat jelas. Sifat jelasnya kebenaran itu umpama malam berbanding siang. Tidak ada yang berpaling dari kebenaran yang amat jelas ini melainkan orang-orang yang rosak dan binasa. Rosak dan binasa barangkali ada pada cara fikir seseorang atau rosak dan binasa tidak berjumpa kebenaran disebabkan kekaburan yang diciptaya sendiri.

Mungkin sebahagian daripada kita akan bertanya: “Tetapi reality hari ini, Kami sukar hendak mengenali kebenaran. Si ustaz ‘A’ kata itu dan si ustaz ‘B’ kata ini". Jika ada yang bertanya kepada anda dengan soalan sebegini, katakan kepadanya: “ketahuilah sesungguhnya kebenaran itu adalah suatu yang amat jelas. Jelasnya sepertimana yang diterangkan oleh Nabi S.A.W. di dalam hadith di atas. Ia jelas, sebagaimana jelasnya perbezaan malam berbanding siang. Mustahil Nabi S.A.W. berdusta kepada kita. Apabila baginda mengatakan kebenaran itu jelas, maka jelaslah ia. Cuma sebahagian orang mereka suka mencari dan mendapatkan kebenaran melalui jalan yang direka-cipta sendiri. Oleh yang demikian kebenaran yang jelas itu menjadi kabur dan sukar dikenal pasti bagi mereka.”

Kebenaran Suatu yang Zahir dan terserlah

Kebenaran adalah suatu yang jelas dan ia pula bersifat zahir dan terserlah. Para pendokongnya tidak menyembunyikan diri. Ilmunya tidak berahsia, demikian juga pemikiran dan kefahaman kebenaran itu mudah difahami, diikuti dan lebih realiti. Amalannya mudah dan praktikal bersesuaian dengan sunnah Nabi S.A.W. Istighfarnya mudah, bilangannya… tak sampai jumlah ribuan.

Mengapa demikian sifat kebenaran? Jawapannya mudah juga: Kebenaran adalah untuk semua orang, maka ia mesti dizahirkan dan diserlahkan. Ia boleh difahami, diikuti dan dipraktikan oleh semua orang. Hal ini demikian, supaya nanti tidak ada yang boleh berdalih kononnya: “kami tidak ketemui kebenaran, kerana kebenaran itu sifatnya seringkali berahsia, ia didakwa berada di dalam majlis-majlis zikir di kalangan ahli-ahli khawwas, ada bersama pertapaan ahli-ahli uzlah, ada pada khayalan puak-puak hakikat dan makrifat dengan zauq dan fana. Lalu kami tidak menemui kebenaran kerana kebenaran itu nampaknya memilih bulu, dan kami tak mampu nak terjun ke alam-alam yang didakwa ada kebenarannya itu. ”

Untuk itu, kebenaran mestilah suatu yang bersifat zahir dan terserlah. Ia bukan milik istimewa sesuatu puak atau golongan tertentu, bukan juga milik individu-individu yang mendakwa sudah sampai ke makam tertentu. Sebaliknya kebenaran itu adalah milik semua. Apabila ia milik semua, ia hendaklah senantiasa bersifat zahir dan terserlah berlegar bersama-sama al-Quran dan al-Sunnah, semua lapisan masyarakat boleh mendengar dan membuat nilaian bersesuaian dengan asas-asas nilai kebenaran yang difahami dari ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Demikian sebaliknya, pemikiran yang memilih untuk tidak menzahirkan kandungannya, bermakna memilih untuk tidak bersama dengan kebenaran yang disebut oleh Nabi S.A.W. di dalam sabda baginda: “Senantiasalah satu golongan dari kalangan umat-ku, zahir di atas kebenaran, tidak dapat memudharatkan mereka, sesiapa yang menyalahi mereka, sehinggalah datang ketentuan Allah, sedang mereka zahir dengan kebenaran tersebut.”

Kefahaman disebalik (mafhum mukhalafah) hadith ini yang boleh diambil dari lafaznya mengisyaratkan bahawa orang yang membiarkan diri atau pemikirannya berada di pihak yang tidak zahir dan tersembunyi atau amalannya hanya golongan-golongan tertentu sahaja yang boleh sertai adalah golongan yang bukan berada di pihak kebenaran atau al-Hak. Perkara ini demikian, kerana seperti yang dinyatakan sebelum ini, kebenaran itu adalah untuk semua, maka ia perlulah zahir, diketahui, boleh difahami dan diamalkan oleh semua orang. Maka apabila ada seorang yang mendakwa barangkali kebenaran itu berlawanan dengan suatu yang zahir, bermakna kefahaman orang tersebut jelas tersilap dan tersasar. Terdapat sebuah athar yang dikatakan daripada Umar bin Abdul Aziz yang berkata: “Apabila kamu melihat satu kaum yang berhimpun dalam urusan agama mereka, tanpa orang ramai (bersembunyi dari orang ramai), maka ketahuilah, mereka itu berada di atas keburukan.” (Riwayat ini ada kelemahan dari sudut kethabitannya, namun ia memiliki maksud yang benar.)

Pembela Kebenaran Tidak Semestinya Kumpulan Yang Ramai

Di dalam hadith di atas, ketika Nabi S.A.W. menyebut akan sentiasa ada di kalangan umat baginda satu golongan… baginda menggunakan lafaz ‘To-ifah’ (satu golongan), dimana kalimah ‘to-ifah’ di dalam bahasa Arab merangkumi maksud seorang mahupun lebih. Mafhum ini dapat dilihat dengan jelas di dalam ayat al-Quran ketika Allah S.W.T. berfirman: “Dan jika dua golongan (to-ifatan) dari kalangan orang-orang yang beriman saling bertelingkah, maka perbaikilah antara kedua mereka ,dan jika salah satu dari kalangan mereka melampaui batas terhadap yang satu lagi, maka perangilah golongan yang melampau sehinggalah ia kembali kepada arahan Allah.” Ini bermaksud sekiranya berlaku pertelingkahan antara dua orang yang beriman, maka mereka juga termasuk di dalam maksud to-ifatan (dua golongan) yang disuruh untuk kita memperbaiki hubungan mereka berdua.

Oleh itu kebenaran tidak boleh diukur dengan hanya ramai atau banyaknya pengikut, apatah lagi hanya kerana ia berupa arus perdana. Sebaliknya kebenaran dikenal apabila ia memenuhi syarat-syaratnya sebagai kebenaran. Antara syaratnya ia mestilah zahir dan terserlah. Zahir dan terserlah dalam erti kata tidak ada rahsia berdasarkan makam dan darjat. Semua golongan berhak mendengar dan mengamalkan kebenaran tersebut.

Sifir mudahnya, tidak mustahil ada ketikanya pendokong-pendokong kebenaran itu adalah minoriti dan pada ada ketika yang lain ia bersama dengan golongan majoriti. Inilah yang terserlah dari ungkapan yang dilontarkan oleh seorang ulama hadith, Abu Muhammad Abdul Rahman bin Ismail (meninggal pada 665 H) yang lebih dikenali sebagai Abu Syamah di dalam kitabnya: al-Hawadiyh wa al-Bida’ ketika beliau menyebut: “Ketikamana datangnya arahan untuk beriltizam dengan al-Jamaah, maka yang dimaksudkan dengan al-Jamah itu ialah beriltizam dan mengikut kebenaran, sekalipun yang perpegang teguh dengannya adalah golongan yang sedikit dan yang berbeza dengannya adalah golongan yang ramai. Ini kerana kebenaran itu ialah apa yang dipegang oleh al-Jamaah yang pertama yang berada di zaman Nabi S.A.W. dan para sahabat baginda, maka jangan diperhatikan kepada ramainya golongan batil selepas dari mereka.”

Kebenaran Bersumberkan Dari Allah Dan Rasul

Kebenaran hanya satu, iatulah apa yang dikatakan benar oleh Allah S.W.T. dan RasulNya S.A.W. berpanduan kefahaman para sahabat R.A. dan para ulama Salaf al-Soleh, kerana mereka merupakan generasi paling memahami maksud firman Allah dan sabdaan RasulNya. Allah S.W.T. berfirman: “Kebenaran itu adalah daripada Tuhan-mu, dan janganlah kamu termasuk dari kalangan orang-orang yang ragu.” (al-Baqarah: 147). Di dalam ayat yang lain Allah S.W.T. berfirman: “Dan katakanlah, kebenaran itu daripada Tuhan kamu semua, maka sesiapa yang mahukan keimanan, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahukan keengkaran, engkarlah.”

Ayat ini bukanlah bermaksud setiap orang bebas memilih keimanan atau kekufuran tanpa ada sebarang galakan atau ancaman. Sebalikinya ayat ini seolah-olah menyeru sesiapa yang hendakkan balasan baik dari Tuhannya, maka hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang hendakkan balasan azab daripada Tuhannya maka pilihlah kekufuran. Ini kerana perbezaan diantara keimanan dan kekafiran itu adalah suatu yang amat jelas.

Inilah neraca utama untuk mengenali kebenaran. Adapun yang lainnya seperti zahir, terserlah dan seumpamanya datang setelah ciri utama ini dipenuhi. Nabi S.A.W. bersabda: “Telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara, selama mana kamu berpegang teguh dengan kedua, kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitulah kitab Allah dan Sunnah rasulNya.” Allah S.W.T. pula berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu saling berbalahan dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah perkara itu kepada Allah (rujuk al-Quran), dan kepada Rasul (rujuk al-Sunnah), jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, demikian itu adalah yang terbaik dan sebaik-baik jalan.”

Salah Faham Dengan Maksud al-Sawad al-A’zom

Dalam sebuah hadith Nabi S.A.W. bersabda (maksudnya): “Umat-ku sama-sekali tidak akan berhimpun di atas kesesatan. Dan sesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-Jamaah, maka ikutilah al-Sawaad al-A’zom, sesungguhnya sesiapa yang menyendiri (tidak mengikut al-Jamaah), dia akan menyendiri di dalam neraka.” Dalam riwayat yang lain dinyatakan: “Sesungguhnya umat-ku tidak akan bersepakat di atas kesesatan, jika kamu melihat perselisihan, maka berpeganglah dengan al-Sawaad al-A’zom.”

Secara ringkas, hadith yang menyebut tentang al-Sawaad al-A’zom termasuk di dalam kumpulan hadith yang masyhur, dan diriwayatkan daripada Nabi S.A.W. melalui jalan periwayatan yang banyak, sehingga baginya ada pendokong dan penguat dari hadith yang berbagai itu. Namun terdapat sebahagian umat Islam yang tersilap dalam memahami maksud al-Sawaad al-A’zom (golongan majoriti) yang disebut di dalam hadith. Mereka beranggapan al-Sawaad al-A’zom adalah golongan majoriti umat Islam hari ini.

Kefahaman ini ternyata salah. Kesalahan ini dibuktikan dengan hadith Nabi S.A.W. yang lain antaranya (maksud hadith): “Umat-ku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, kesemuanya di dalam neraka melainkan satu.” Ditanya kepada baginda siapakah yang satu itu wahai rasulullah S.A.W.: “Baginda menjawab: “Ia adalah al-Jamaah”. Jika berpandukan hadith ini menunjukkan di akhir zaman al-Sawaad al-A’zom (majoriti) itu adalah golongan yang menyeleweng, sedangkan yang sedikit itulah berada di pihak kebenaran. Oleh itu maksud al-Sawaad al-A’zom perlu difahami sebaik mungkin, supaya maksud hadith tidak dirosakkan disebabkan cara faham yang salah.

Al-Jamaah yang dimaksudkan di dalam hadith ialah jamaah yang berada di zaman rasul S.A.W. yang terdiri dari kalangan para sahabat baginda. Inilah kefahaman yang sebenarnya. Kerana itu ketika ditanya kepada Abdullah bin al-Mubarak (m 181 H) siapakah al-Sawaad al-A’zom, lalu beliau menjawab: “Muhammad bin Aslam al-Tusiy adalah al-Jamaah.” Bagaimana mungkin ibn al-Mubarak menisbahkan Muhammad bin Aslam al-Tusiy seorang sebagai jamaah? Malainkan para ulama memahami al-Jamaah yang dimaksudkan adalah sesiapa yang bersama dengan jemaah yang awal di zaman Nabi S.A.W. yang terdiri dari para sahabat baginda yang telah diredhai oleh Allah S.W.T.

wallahu a'lam.

0 comments: