Tuesday, December 2, 2008

Bolehkah Istinja' Dengan Tisu tandas?



Kadang-kadang apabila saya menggunakan tandas awam, saya beristinja' menggunakan tisu tandas yang ada. Bolehkah kita beristinja' dengan menggunakan tisu tandas ? Minta penjelasan dari Ustaz. Jazakallahu khairan kathira.

Jawapan:

Setiap orang WAJIB bersuci setelah ia selesai menunaikan hajatnya. Samaada dengan menggunakan AIR atau selain air yang dapat menghilangkan najis tersebut antaranya Batu, Tisu Tandas dan seumpamanya.




Anas bin Malik meriwayatkan Nabi saw bersabda:

"كان النبي صلى الله عليه وسلم يقضي حاجته فأنطلق أنا وغلام نحوي بإداوة من ماء وعنزة فيستنجي بالماء " رواه البخاري ( 149 ) ومسلم ( 271 )

Maksudnya : "Adalah Nabi s.a.w. menunaikan hajat baginda, lalu aku dan seorang budak sebaya ku membawa sebekas air dan sebatang tongkat yang dihujungnya ada besi, lalu baginda beristinjak dengan air tersebut." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
At-Tirmizi pula meriwayatkan daripada 'A-isyah r.'anha bahawasanya beliau berkata kepada para wanita:

مُرْنَ أَزْوَاجَكُنَّ أَنْ يَسْتَطِيبُوا بِالْمَاءِ فَإِنِّي أَسْتَحْيِيهِمْ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَفْعَلُهُ . صححه النووي في المجموع (2/101(

Maksudnya : "Beritahu kepada suami-suami kamu semua untuk mereka bersuci dengan air, kerana aku segan untuk memberitahu kepada mereka, bahawasanya Nabi s.a.w. melakukan demikian itu." (Hadith ini disohehkan oleh an-Nawawi di dalam al-Majmu')
Berkata at-Tirmizi selepas beliau menyebut hadith ini : "Para Ulama beramal dengan hadith ini, dan mereka memilih untuk bersuci dengan air, dalam keadaan bersuci dengan batu juga memadai disisi mereka. Akan tetapi mereka lebih menyukai untuk bersuci dengan air dan mereka berpendapat ianya adalah lebih Afdhol/ lebih utama." (Lihat al-Majmu' 2/100)

Dari dua hadith di atas kita dapat mengetahui bahawasanya cara yang lebih utama untuk bersuci ialah dengan menggunakan air. Namun begitu kita juga dibenarkan untuk bersuci dengan menggunakan batu atau seumpamanya seperti tisu tandas yang dapat menghilangkan najis. Perkara ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada 'A-isyah r.'anha bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:

(إِذَا ذَهَبَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْغَائِطِ فَلْيَذْهَبْ مَعَهُ بِثَلَاثَةِ أَحْجَارٍ فَلْيَسْتَطِبْ بِهَا فَإِنَّهَا تَجْزِي عَنْهُ) . صححه الألباني في الإرواء (44)

Maksudnya : "Apabila seseorang daripada kamu pergi ke tandas, maka dia bawalah bersamanya tiga ketul batu, kemudian dia bersucilah dengannya, kerana sesungguhnya memadai dengannya." (Hadith ini disohehkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa' 44)
Ibn Qudamah menakalkan bahawasanya ijmak sahabat atas keharusan/kebolehan bersuci dengan tiga batu sahaja dan tidak menjadi kewajipan menggunakan air semata-mata." (al-Mughni 1/208)

wallahu a'lam.

0 comments: