Apakah hukum apabila seseorang itu menangguhkan mandi wajib ?
Jawapan:
Harus seseorang itu menangguhkan mandi wajib melainkan jika dia hendak menunaikan solat. Mandi wajib atau janabah bukanlah kewajiban yang mesti disegerakan, dia boleh menangguhkannya walaupun tanpa ada keperluan.
Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada diriwayatkan bahawasanya Abu Hurairah ra suatu ketika bertemu dengan Rasulullah saw, dan beliau dalam keadaan berjunub. Lalu beliau berpaling dan pergi untuk mandi janabah, kemudian datang semula. Nabi saw bertanya kepada beliau:
أين كنت يا أبا هريرة؟
Maksudnya: "Kemana kamu pergi tadi wahai Abu Hurairah ?"
Jawab Abu Hurairah:
كنت جنباً، فكرهت أن أجالسك وأنا على غير طهارة
Maksudnya: "Aku tadinya berjunub, aku tidak suka untuk duduk bersama Mu dalam keadaan aku tidak suci."
Jawab Nabi saw:
سبحان الله إن المسلم لا ينجس
Maksudnya: "Maha suci Allah, sesungguhnya orang Muslim itu tidak najis."
Ibn Hajar di dalam Fathul Bari berkata tentang hadith ini:
"(pada hadith ini bukti) harusnya melewatkan mandi janabah." Beliau menyambung bahawasanya al-Bukhari menjadikan dalil dengan hadith Abu Hurairah ini akan keharusan seorang yang berjunub melaksanakan keperluan-keperluannya, dan al-Bukhari menyebut: "Bab orang yang berjunub keluar dan berjalan di pasar dan selainnya."
Demikian juga harus bagi orang yang berjunub untuk dia tidur walaupun sebelum mandi janabah. Cumanya disunatkan sahaja untuk dia berwudhu terlebih dahulu sebelum dia tidur dalam keadaan berjunub. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tentang seorang bertanya kepada 'A-isyah r'anha :
كيف كان يصنع في الجنابة ؟ أكان يغتسل قبل أن ينام أم ينام قبل أن يغتسل ؟ قالت : كل ذلك قد كان يفعل . ربما اغتسل فنام . وربما توضأ فنام . قلت : الحمد لله الذي جعل في الأمر سعة
Maksudnya: "Bagaimanakah yang dilakukan oleh Nabi saw dalam dalam hal janabah ? Adakah baginda mandi sebelum baginda tidur, atau baginda tidur (walau) sebelum baginda mandi ?" Jawab 'A-syah r'anha : "Semuanya itu pernah dilakukan oleh Nabi saw, kadang-kadang baginda mandi dahulu kemudia tidur, kadang-kadang baginda berwudhu kemudian tidur (tanpa mandi)." Kata orang yang bertanya : "Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan urusan ini sesuatu yang luas."
Demikian juga al-Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan juga hadith tentang Umar yang meminta fatwa dari Nabi saw:
أينام أحدنا وهو جنب؟ قال: "نعم إذا توضأ
Maksudnya: "Adakah seseorang dari kamu boleh tidur sedang dia berjunub ?" Jawab Nabi saw : "Ya, jika dia berwudhu."
Ibn Abdil Barr berkata : "Kebanyakan para ulama berpendapat – yakni dalam perkara berwudhu bagi orang yang berjunub sebelum tidur – adalah sunat. Manakala ahli zahir berpendapat ianya wajib, akan tetapi pendapat ini Syaz.
Wallahu a'lam.
0 comments:
Post a Comment