Pendidikan awal
pada usia kanak-kanak memberi pengaruh yang amat besar di dalam pembentukan
diri seseorang. Kerana itu Nabi SAW telah memerintahkan para ibu bapa mendidik
anak-anak mereka untuk mendirikan solat bermula umur 7 tahun. Baginda SAW
bersabda:
مُرُوا
أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُم أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ
عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ
Maksudnya: “Suruhlah (didiklah)
anak-anakmu dengan solat ketika mereka berumur 7 tahun, pukullah mereka jika
tidak menunaikan solat ketika berumur 10 tahun.” (HR Ahmad 2/187, Abu Daud
495 dan al-Tirmizi 407, kata beliau: Hadis Hasan Sahih)
Termasuk dalam memberi didikan kepada kanak-kanak
ialah membiasakan mereka dengan masjid sehingga jantung hati mereka bertaut
kuat kepadanya. Justeru di bawah ini disertakan panduan kepada umat Islam dalam
permasalahan membawa kanak-kanak ke masjid:
1) Jemaah masjid terutamanya AJK masjid hendaklah
bersikap mesra dan lunak dengan para jemaah termasuk kanak-kanak. Mereka
sepatutnya berusaha mendekatkan orang ramai ke masjid bukan menjauhkan mereka
dari masjid.
2) Terdapat hadis yang membuktikan boleh membawa
kanak-kanak masuk ke dalam masjid, antaranya hadis yang diriwayatkan daripada
Abu Qatadah al-Ansoriy:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يصلي وهو حامل
أمامة بنت زينب بنت رسول الله صلى الله عليه وسلم ولأبي العاص بن ربيعة بن عبد
شمس، فإذا سجد وضعها وإذا قام حملها
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW pernah menunaikan
solat dalam keadaan baginda mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulullah SAW,
(cucu baginda hasil dari perkahwinan Zainab) dengan Abi al-‘Ash bin Rabi’ah bin
‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya, apabila baginda
bangun baginda mendukungnya semula.” Dalam riwayat lain Abu Qatadah
berkata: “Aku pernah melihat Nabi SAW mengimamkan orang ramai, sedang Umamah
binti Abi al-‘Ash di atas bahu baginda.” (HR al-Bukhari 516 dan Muslim 543)
‘Aisyah RA pula
berkata:
أعتم رسول الله صلى الله عليه وسلم في العشاء حتى
ناداه عمر: قد نام النساء والصبيان
Maksudnya: “Rasulullah
SAW pernah melewatkan ‘Isyak ke dalam waktu ‘Atamah[1],
sehingga ‘Umar berseru: “Sesungguhnya telah tertidur para wanita dan
kanak-kanak.” (HR al-Bukhari. Seumpama hadis ini juga diriwayatkan daripada
Ibn ‘Abbas, di sisi al-Bukhari dan Muslim).
Al-Imam
al-Bukhari menjadikan untuk hadis ini Bab Wudhu al-Sibyan…sehinggalah
perkataannya: “Dan kehadiran mereka dalam jemaah (solat), solat hari raya
dan jenazah demikian juga berkaitan saf-saf mereka.” Ini menunjukkan
al-Imam al-Bukhari memahami bahawa kanak-kanak hadir di masjid di zaman Nabi
SAW. Selain itu lafaz Sibyan yang bermaksud kanak-kanak adalah umum
merangkumi kanak-kanak kecil dan besar. Ada yang berpandangan bahawa perkataan
‘Umar itu memaksudkan kanak-kanak telah tertidur di rumah-rumah mereka. Namun
pandangan ini tertolak kerana jika benar seperti yang didakwa, maka tidak ada
keperluan ‘Umar menyebutnya[2].
Sebaliknya ‘Umar menyebut mereka kerana simpati dengan kanak-kanak yang tidak
dapat bersabar menunggu, sehingga tertidur.[3]
3) Pakaian dan badan kanak-kanak adalah suci selama tidak
diketahui adanya najis.[4]
Oleh itu tidak boleh melarang kanak-kanak ke masjid hanya kerana andaian mereka
menanggung najis.
4) Melarang kanak-kanak ke masjid dengan alasan mereka
akan mengganggu orang-orang dewasa menunaikan solat dengan teriakan, jeritan
dan bermain adalah tertolak. Ini kerana kanak-kanak Mumayyiz boleh
dididik dan diajar agar menjaga adab di dalam masjid agar tidak berbuat bising,
tidak mengganggu orang lain dan seumpamanya. Namun jika berlaku keadaan
sebaliknya, maka yang bersalah adalah para ibu-bapa dan penjaga yang lalai
dalam memberi peringatan kepada kanak-kanak berkaitan adab-adab di dalam
masjid. Demikian juga tindakan sebahagian jemaah masjid yang mengkhususkan
kanak-kanak di saf belakang adalah diantara punca utama mereka bermain dan
mengganggu jemaah yang sedang menunaikan solat. Keadaan ini dapat dibendung
sekiranya setiap kanak-kanak menunaikan solat bersebelahan dengan penjaganya.
Perkara ini wajib diberi perhatian oleh para jemaah, AJK masjid dan ibu-bapa.
Jika ia tidak ditangani dengan bijaksana, ia bakal menyebabkan wujudnya masalah
dengan kanak-kanak di masjid.
5) Harus kanak-kanak berada di dalam saf bersama orang
dewasa dan solat bersama dengan mereka. Inilah pandangan yang Rajih dan
bertepatan dengan pandangan majoriti ulama. Antara dalil dalam perkara
ini ialah hadis daripada Anas bin Malik RA yang berkata:
أن جدته مليكة
– رضي الله عنها – دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال:
قوموا فلأصل بكم ، فقمت إلى حصير لنا قد اسودّ من طول ما لبث فنضحته بماء، فقام
رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين
Maksudnya: “Bahawa
nenek Anas bin Malik RA bernama Mulaikah RA pernah menjemput Rasulullah SAW
menjamah makanan yang disediakannya, lalu baginda memenuhi jemputan tersebut
dan menjamah makanan tersebut. Setelah itu Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah
kamu semua, kita solat bersama.” Kata Anas: “Lalu daku bangun ke tikar yang
telah kehitaman warnanya disebabkan telah lama digunakan, lalu aku memercikkan
air di atasnya. Rasulullah SAW berdiri (di hadapan) sedang seorang yatim
berdiri bersama denganku (dalam satu saf). Manakala nenekku berada di belakang,
lalu baginda menunaikan solat 2 rakaat bersama dengan kami.” (HR al-Bukhari
dan Muslim)
Hadis ini
menunjukkan kanak-kanak boleh berada dalam saf yang sama dengan orang dewasa
berdasarkan perkataan Anak bin Malik: “…sedang seorang yatim berdiri
bersamaku (dalam satu saf)” di belakang Nabi SAW. Yatim adalah seorang
kanak-kanak yang kematian bapa ketika belum mencapai umur baligh.
6) Membiarkan kanak-kanak berada di dalam saf bersama
orang-orang dewasa dapat memberi galakan kepada mereka untuk menunaikan solat
dan tidak mengganggu Jemaah. Demikian juga membiasakan diri mereka pergi
berjemaah ke masjid.
7) Ibu-bapa yang membawa anak-anak ke masjid
bertanggungjawab memastikan terlebih dahulu anak mereka tidak mengganggu para
Jemaah yang beribadat. Kerana itu, umur kanak-kanak yang sudah mumayyiz dan
boleh memahami arahan adalah had minima kanak-kanak dianjurkan untuk dibawa ke
masjid. Para ibu bapa juga perlu mendidik dan memperingatkan anak-anak yang
hendak dibawa ke masjid akan kemuliaan masjid dan menghormati orang yang sedang
beribadat. Membawa anak-anak ke masjid yang hanya akan mengganggu orang ramai
menunaikan solat adalah perkara yang tidak wajar berlaku. Hal ini hendaklah
diambil perhatian sepenuhnya oleh Ibubapa. Nabi SAW pernah mendengar sebahagian
jemaah yang menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid, lalu baginda bersabda:
لا يجهر بعضكم على بعض في القرآن
Maksudnya: “Jangan
sebahagian daripada kamu menjaharkan bacaan al-Qurannya (sehingga terganggu) ke
atas sebahagian yang lain.” (HR
Ahmad 5326. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Islah al-Masajid)
Dalam hadis yang lain, baginda bersabda:
فلا يؤذيَنَّ
بعضكم بعضاً
Maksudnya: “Jangan
sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain (dengan mengganggu mereka ketika
beribadah).” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah
al-Sahihah)
Hadis-hadis ini menujukkan
setiap perkara yang boleh mengganggu orang-orang yang solat, maka perkara itu
adalah dilarang.
8) Jika seorang kanak-kanak yang telah mancapai umur
Mumayyiz mendahului orang lain ke saf hadapan sekalipun saf pertama, maka
tempat itu menjadi haknya. Tiada siapa yang boleh memindahkannya dari saf
tersebut berdasarkan pandangan yang lebih Rajih. ‘Abdullah bin ‘Umar RA
berkata:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ
يُقِيمَ الرَّجُلُ أَخَاهُ مِنْ مَقْعَدِهِ وَيَجْلِسَ فِيهِ
Maksudnya: “Nabi
SAW melarang seorang lelaki membangunkan saudaranya dari tempatnya, lalu dia
duduk di tempat saudaranya itu.” (HR al-Bukhari dan Muslim) Maka seorang
kanak-kanak yang mumayyiz termasuk dalam kategori ini.
9)
Menghalang dan
menjauhkan kanak-kanak dari saf orang-orang dewasa di dalam masjid seperti yang
dilakukan oleh orang ramai[5]
bakal mewujudkan keburukan-keburukan yang banyak. Perbuatan ini jelas menyalahi
amalan para al-Salaf al-Soleh yang tidak menjauh dan tidak mengasingkan
kanak-kanak dari saf orang-orang dewasa. Jika mereka mengasingkannya sudah
tentu perkara itu diketahui, masyhur dan diamalkan dari zaman ke zaman sama
seperti diasingkan saf wanita dari saf lelaki.
[6]
Adapun berkaitan
sebahagian riwayat hadis yang ada menunjukkan terdapat al-Salaf al-Soleh yang
menempatkan kanak-kanak di bahagian belakang masjid, maka perbuatan ini boleh
difahami ia semata-mata pandangan segelintir kecil dari kalangan mereka, atau
boleh juga difahami pengasingan itu untuk kanak-kanak yang masih tidak tahu menunaikan
solat.[7]
10) Hadis Nabi SAW
yang bersabda:
ليلني منكم أولو الأحلام والنهى،
ثم الذين يلونـهم، ثم الذين يلونـهم
Maksudnya: “Hendaklah
menghampiriku mereka yang dewasa dan cerdik, kemudian yang berikutnya dan
kemudian yang berikutnya.”
Hadis ini bukan
membawa maksud membelakangkan kanak-kanak dari berada di saf hadapan bersama
orang dewasa. Sebaliknya ia berupa satu anjuran kepada orang dewasa dan bijak
untuk bergerak awal ke hadapan dan menghampiri imam.
Wallahu a’lam.
[1] Apabila dikatakan عَتَمَ
اللَيْلُ iaitulah apabila
malam telah menjadi gelap. Maka العَتَمَة ialah
kegelapan. Dikatakan juga ia adalah waktu 1/3 awal malam selepas tenggelamnya
al-Syafaq. Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Daqiq
al-‘Ied.
[2] Lihat Fath al-Bari oleh Ibn
Hajr al-‘Asqalani 2/344
[3]
Ibid, 2/48
[4] Lihat Ma’alim al-Sunan oleh al-Khattabiy 1/431,
demikian juga al-I’lam bi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam 3/156
جنبوا مساجدكم صبيانكم
Maksudnya: “Jauhkanlah
masjdid-masjid kamu dari kanak-kanak.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn
Majah (750), al-Tabarani di dalam al-Kabir (22/57) dari jalan al-Harith
bin Nabhan, menceritakan kepada kami ‘Utbah daripada Abi Sa’ied daripada Makhul
daripada Wathilah bin al-Asqa’ RA. Namun rawi yang bernama al-Haris adalah
seorang yang Dhoief Jiddan. Kata al-Bukhari: “Mungkar al-Hadis.”
Kata al-Nasa’ie dan Abu Hatim: “Matruk.” Kata Ibn Ma’ien: “Tiada
nilai (ليس بشيء), dikesempatan lain
beliau berkata: “Tidak dicatit hadisnya”. Hal ini dinyatakan oleh
al-Zahabi di dalam al-Mizan 1/444. Hadis ini memiliki sokongan
(syawahid)) namun semuanya tidak sahih. Lihat Nasb al-Rayah 2/491
[6] Lihat Hasyiah Ibn Qasim ‘Ala
al-Raudh al-Murbi’ 2/341
0 comments:
Post a Comment