Monday, March 3, 2014

Hukum Gugurkan Hutang Dari Pemiutang Sebagai Zakat

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenaii zakat. Bolehkan saya membayar zakat dengan cara mengurangkan hutang daripada orang miskin yang meminjam daripada saya. Contohnya si A berhutang kepada RM5000. pada tahun ini saya sepatutnya membayar zakat RM1000. Jadi pada tahun ini saya telah mengurangkan hutangnya kepada saya kepada RM4000 tanpa mengeluarkan apa-apa wang. bolehkah cara sedemikian dilakukan

Jawapan:

Tidak boleh sedemikian. Sebaliknya hendaklah diberikan kepada orang miskin zakat sehingga dia memiliki makanan untuk dimakan. Adapun hutangnya terhadap saudara, tunggulah sehingga dia mampu melangsaikannya. Allah SWT berfirman:

وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan bahawa jika kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (al-Baqarah: 280)

Justeru, tidak boleh bagi seseorang muslim menjadikan kewajipan zakat untuk memelihara atau jaminan keselamatan hartanya (jaminan dia mendapat wang hutangnya). Dalam erti kata lain tidak boleh seseorang itu lari dari menunaikan zakat dengan memotong hutang dari orang miskin terhadapnya. Inilah pandangan sebahagian ulama terdiri dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali dan pandangan yang Asah di sisi ulama Syafie. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan:

Maksudnya: “Tidak boleh bagi pemiutang (orang yang memberi hutang) menggugurkan hutangnya dari penghutang (orang yang berhutang) miskin yang tidak mampu membayar hutangnya. Lalu pemiutang mengira (pengguguran hutangnya itu) sebagai zakat hartanya. Jika dia lakukan sedemikian tidak dikira dari zakat. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi, Hambali dan Maliki, melainkan Asyhab. Pandangan ini juga yang Asah di sisi ulama mazhab al-Syafie, juga pandangan Abu ‘Ubaid. Bentuk larangan (melakukan perkara ini) iaitulah zakat merupakan hak Allah SWT, maka tidak boleh bagi seseorang memalingkannya bagi mendapat manfaat untuk dirinya sendiri, atau untuk (jaminan) menghidupkan hartanya dan jaminan memperolehi semula hartanya…”


Wallahu a’lam.

0 comments: