Monday, July 15, 2013

Perubatan Moden Dan Kesannya Kepada Puasa

Ringkasan dari Mufattirat al-Siyam al-Mu’asarah tulisan Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, Penolong Profesor di Fakulti Fekah Universiti al-Qasim.
Terjemahan dan olahan semula: Bin Sahak

1.    Pil-Pil serangan jantung yang diletak di bawah lidah, setelah itu dihisap dan ia akan larut dalam waktu yang singkat, dan darah akan membawanya terus ke jantung, tanpa masuk ke dalam perut walaupun sedikit, seterusnya berperanan memberhentikan serangan jantung yang mengejut. Hukumnya: Ia TIDAK membatalkan puasa.

2.    Gastroscope. Iaitulah peralatan perubatan (sejenis kamera) yang dimasukkan melalui mulut, tekak, kemudian ke perut berfungsi untuk melihat ulser atau seumpamanya yg berada di dalam perut. Juga berfungsi mengeluarkan sesuatu dari dalam perut untuk kajian lanjut atau untuk tujuan-tujuan perubatan lainnya.

Sebelum dijelaskan hukumnya, perlu diterangkan bahawa para ulama berbeza pandangan tentang perkara yang membatalkan puasa disebabkan memasukkan sesuatu ke dalam perut. Apakah setiap perkara yang dimasukkan ke dalam perut itu membatalkan puasa, atau hanya yang berperanan untuk memberi kesegaran kepada badan sahaja yang membatalkan puasa. (Sila lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid 2/153)

Sebahagian ulama yang lain pula berpandangan larangan memasukkan sesuatu ke dalam perut bagi orang yang berpuasa adalah berupa perkara Ta’abbudi yang tidak diketahui sebab dan puncanya melainkan arahan supaya ditaati semata, maka tidak perlu dibezakan antara yang memberi kesegaran dan tenaga kepada badan ataupun tidak. Oleh itu memasukkan apa sahaja ke dalam perut sekalipun bukan berupa makanan seperti batu dan seumpamanya ia membatalkan puasa. Inilah pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali. Cuma Mazhab Hanafi mensyaratkan bahan bukan makanan yang dimasukkan ke dalam perut, jika bersambung dengan sesuatu yang berada di luar perut maka ia tidak membatalkan puasa.

Sebahagian ulama berpandangan larangan memasukkan sesuatu ke dalam perut itu memaksudkan sesuatu yang boleh menyegarkan badan seperti makanan dan minuman sahaja. Adapun selain dari itu, yang tidak memberi kesegaran dan tenaga kepada badan ia tidak membatalkan puasa. Inilah Mazhab al-Hasan bin Soleh dan sebahagian ulama dalam Mazhab Maliki, pandangan ini juga merupakan pandangan pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH.

Tarjih (Pilihan pandangan yang lebih benar) oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil: Yang lebih kuat ialah pandangan kedua.

Hukum menggunakan Gastroscope

Terdapat dua pandangan ulama:

Pertama: Membatalkan puasa. Inilah pandangan Mazhab Maliki, Syafie dan Ahmad.

Kedua: Tidak membatalkan puasa kerana ia bukan sejenis makanan dan minuman, bukan juga sesuatu yang dapat menyegar dan menguatkan badan. Inilah pandangan al-Syeikh Muhammad Bukhait, mantan Mufti Mesir, al-Syeikh Muhammad al-‘Uthaimin dan demikian juga maksud yang dapat di ambil dari pandangan Mazhab Hanafi yang mensyaratkan perkara itu mesti tidak bersambung dengan sesuatu di luar badan.

Perhatian: Sekiranya proses memasukkan Gastroscope memerlukan pelincir seperti lemak atau seumpamanya yang boleh dihadam dan diambil manfaat seperti makanan atau minuman, maka ia membatalkan puasa tanpa keraguan kerana pelincir tersebut, bukan kerana Gastroscope.

3.    Cecair Ubat Titis Hidung, Para ulama semasa berbeza pandangan:

Pertama: Tidak membatalkan puasa, kerana yang masuk ke dalam perut amat sedikit, lebih sedikit dari baki air kumuran ketika berwudhu. Maka ia termasuk sesuatu yang dimaafkan. Selain ia hanya sedikit, cecair ubat tersebut juga bukan makanan atau minuman yang dapat memberi makanan dan kekuatan kepada badan. Ubat titisan juga tidak dinamakan sebagai makanan mahupun minuman. Maka ia tidak membatalkan puasa. Inilah pandangan al-Syeikh Haitham al-Khayyath dan al-Syeikh ‘Ajil al-Nasyami.

Kedua: Membatalkan puasa, berdasarkan hadis larangan berlebihan menghisap air ke dalam hidung semasa berwudhu ketika berpuasa. Inilah pandangan al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz ‘Abdullah bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, al-Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami dan Dr. Muhammad al-Alfiy.

Tarjih Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil: Cecair ubat titis hidung tidak membatalkan puasa, sekalipun ia sampai ke perut, kerana jika sampai ke perut sekalipun ia amat sedikit, lebih sedikit dari baki kumuran ketika berwudhu, dan ia juga bukan makanan mahupun minuman.

4.    Gas Oksigen: Iaitulah yang berupa udara, diberikan kepada pesakit yang memerlukan. Ia tidak mengandungi bahan makanan, sebaliknya terus masuk ke anggota atau rongga pernafasan.

Hukumnya: Tidak membatalkan puasa, sepertimana pernafasan biasa.

5.    Pelalian. Dua jenis pelalian: 1. Pelalian seluruh badan (menjadikan pesakit pitam). 2. Pelalian bahagian-bahagian tertentu. Terdapat beberapa proses pelalian tubuh:

       I.        Proses pelalian melalui hidung: Dengan pesakit menghidu gas pelali.

     II.        Proses pelalian dengan jarum kering: Iaitulah sejenis perubatan Cina. Dengan menyucuk jarum kering pada bahagian deria rasa, berfungsi meransangkan sejenis kelenjar tertentu untuk merembeskan seumpama morfin secara semula jadi yang berperanan memberi pelalian kepada anggota tertentu. Kebiasaannya ia adalah pelalian di anggota tertentu yang tidak perlu memasukkan sesuatu ke dalam badan.

    III.        Suntikan pelali: terdiri dari pelali untuk anggota tertentu seperti gusi atau otot. Terdapat juga pelalian untuk keseluruhan badan yang berfungsi menidurkan pesakit dalam tempoh masa yang tertentu. Setelah itu akan dimasukkan tiub ke rongga pernafasan melalui hidung pesakit. Seterusnya melalui peralatan pernafasan ini seseorang pesakit itu bernafas dalam masa yang sama dimasukkan juga melaluinya gas yang berfungsi memitamkannya dalam tempoh masa tertentu.

Hukum Pelalian: Pelali yang pertama tidak membatalkan puasa, kerana ia hanya merupakan gas dan tidak mengandungi unsur makanan. Demikian juga pelalian kedua, kerana ia tiada apa-apa yang masuk ke dalam perut. Demikian juga suntikan pelalian yang hanya dilakukan kepada anggota-anggota tertentu sahaja, ia tidak membatalkan puasa kerana tidak ada sesuatu yang masuk ke dalam perut. Adapun suntikan pada urat bertujuan pelalian ke seluruh tubuh yang memitamtan terdapat dua perkara:

Pertama: Memasukkan cecair melalui urat. Persoalan ini akan disentuh dalam tajuknya sendiri.

Kedua: Memitamkan. Para ulama berbeza pandangan tentang hukum orang yang berpuasa pitam, apakah membatalkan puasa ataupun tidak. Pitam terbahagi kepada dua:

               I.        Pitam keseluruhan siang. Ia membatalkan puasa, inilah pandangan imam Mazhab yang tiga iaitulah al-Imam Malik, al-Syafie dan Ahmad, berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyandarkan menahan dari makan, minum dan syahwat kepada puasa. Sebaliknya orang yang diberi suntikan pelalian sehingga pengsan tidak dikira sebagai orang yang melaksanakannya. Namun Mazhab Hanafi dan al-Imam al-Muzani dari mazhab Syafie berpandangan puasa orang seumpama ini dikira sah, kerana dia telah berniat berpuasa, keadaannya yang pengsan dihukum sama seperti orang yang tidur. Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil berkata: pandangan yang lebih hampir kepada kebenaran adalah pandangan majoriti ulama yang mengatakan pitam keseluruhan siang hari adalah membatalkan puasa, disebabkan perbezaan yang jelas diantara pitam dan tidur. Berdasarkan pandangan ini, maka pengsan seharian penuh tidak sah puasanya dan perlu diqadha puasa hari tersebut. 


             II.        Tidak pitam pada keseluruhan waktu siang. Al-Imam Abu Hanifah berpandangan, orang yang pitam pada awal hari, jika dia terjaga sebelum tergelincir matahari, maka orang seperti ini perlu memperbaharuikan niatnya. Imam Malik pula berpandangan orang yang seperti ini tidak sah puasanya. Imam al-Syafie dan Ahmad pula berpandangan jika orang yang pitam itu sedar pada mana-mana bahagian waktu siang maka puasanya sah. Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil berkata: barangkali yang lebih hampir kepada kebenaran iaitulah pandangan Imam al-Syafie dan Ahmad yang mengatakan jika seseorang itu sedar dari pitamnya pada mana-mana bahagian siang hari, maka puasanya sah, kerana tidak ada dalil yang menunjukkan puasa seumpama ini terbatal, bahkan orang seperti ini telah mendapat niat puasa pada sebahagian waktu siang. Berdasarkan kenyataan ini, maka pelalian yang tidak memitamkan sepanjang siang hari maka ia tidak membatalkan puasa. Adapun pelaian yang memitamkan seseorang sepanjang siang hari, maka ia membatalkan puasa.

6.    Titisan ke dalam telinga: Para ulama berbeza pandangan tentang titisan ubat ke dalam telinga kepada dua:

       I.        Jika dituang lemak ke dalam telinga atau di masukkan air, ia membatalkan puasa. Inilah pandangan mazhab al-Ahnaf, al-Malikiyyah, yang Asah di sisi al-Syafieyyah dan al-Hanabilah, jika ia sampai ke otak. Kumpulan ini berpandangan batal puasa berdasarkan apa yang dimasukkan ke dalam telinga dan sampai ke tekak atau ke otak. Ini merupakan illah yang jelas di sisi mereka. Justeru itu di dalam Manh al-Jalil dinyatakan: “Jika pasti tidak sampai ke tekak dari rongga-rongga ini – iaitulah hidung, telinga dan mata – maka tidak mengapa.”

     II.        Tidak membatalkan puasa dengan memasukkan sesuatu ke dalam telinga. Inilah salah Wajah di sisi ulama Syafie dan mazhab Ibn Hazm. Pandangan ini dibina berdasarkan setiap titisan ke dalam telinga tidak sampai ke otak, sebaliknya hanya sampai ke liang kulit sahaja. Kedua-dua pandangan ini kelihatan sepakat mengembalikan permasalahan titisan kepada sama ada ia sampai ke perut atau tidak. Namun Doktor hari ini telah menjelaskan bahawa tiada sebarang laluan yang dapat menyampaikan sebarang cecair dari telinga ke otak dan perut. Oleh yang demikian, apabila nyata ketiadaan sebarang laluan antara telinga dan perut, dan berdasarkan illah yang diberikan oleh kedua-dua kumpulan ulama, maka dapat kita simpulkan bahawa mereka bersepakat tidak batalnya puasa kerana melakukan titisan ke dalam telinga.

Tarjih Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khlail: Titisan ubat ke dalam telinga tidak membatalkan puasa, kedudukannya sama seperti titisan ubat ke dalam hidung.

Demikian halnya dengan membasuh telinga, hukumnya sama seperti hukum menitiskan ubat ke dalam telinga, iaitulah tidak membatalkan puasa melainkan jika gegendang telinga pecah, kerana jika bahagian dalam telinga dibasuh dalam keadaan tiada gegendang, akan menyebabkan wujudnya saluran ke tekak yang seterusnya akan menghubungkan ke perut. Sekiranya cecair yang digunakan untuk membasuh telinga mengandungi air, dan terus masuk ke perut melalui saluran gegendang yang telah pecah dalam jumlah yang banyak, maka ia membatalkan puasa. Sekiranya dilakukan basuhan telinga dengan bahan-bahan yang tidak mengandungi air, maka ia sama dengan persoalan memasukkan sesuatu yang bukan makanan ke dalam perut, dimana terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentangnya. Adapun berdasarkan Tarjih (pemilihan pandangan yang lebih kuat) adalah tidak membatalkan puasa dengan masuknya sesuatu yang bukan makanan ke dalam perut.

0 comments: