Ramai dari kalangan umat Islam
bersungguh-sungguh beribadah pada malam al-Qadar dengan memperbanyakkan
solat-solat sunat, membaca al-Quran dan seumpamanya. Namun terdapat satu amalan
yang hampir dilupakan, iaitulah menghidupkan malam al-Qadar dengan BERSEDEKAH.
Tahukah kita bahawa Nabi SAW bukan sahaja menghidupkan malam al-Qadar dengan
hanya menunaikan solat, berzikir, membaca al-Quran dan berdoa sahaja? Sebaliknya
baginda menghidupkan malam al-Qadar dengan melakukan amalan soleh yang
berbagai. Kefahaman ini diambil hasil dari menghimpunkan hadis-hadis yang
menceritakan baginda SAW menghidupkan sepuluh malam yang akhir, yang membawa
maksud mempelbagaikan amalan soleh termasuklah bersedekah (Lihat Majalis
Syahr Ramadhan oleh Ibn al-‘Uthaimin).
Jika menunaikan solat pada malam al-Qadar
lebih baik dari seribu bulan (lebih dari 30 ribu solat), maka samalah halnya dengan
memperbanyakkan sedekah pada malam al-Qadar. Allah SWT berfirman:
لَيْلَةُ
الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Malam al-Qadar iaitulah malam yang lebih baik
dari seribu bulan.” Maka sesiapa yang bersedekah pada malam
al-Qadar dengan seringgit, bermakna dia telah bersedekah lebih dari 30 ribu
ringgit yang dilakukan kerana Allah SWT. Justeru sepatutnya bagi sesiapa yang
berusaha mendapatkan malam al-Qadar hendaklah dia juga berusaha melakukan
amalan sedekah pada setiap 10 malam yang akhir sekalipun hanya dengan seringgit,
agar dikurniakan kebaikan yang banyak kepadanya.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment