Soalan:
Manakah Yang Lebih Afdhal Dalam Melakukan Korban, Menyembelih Seekor Kambing Atau Berkongsi Seekor Lembu?
Jawapan:
Yang lebih Afdhal (yang lebih utama) dalam melakukan korban adalah seperti berikut:
1. Unta
2. Lembu
3. Kambing
4. Seekor unta atau lembu yang dikongsi
Inilah pandangan al-Imam al-Syafie dan al-Imam Abu Hanifah berdasarkan sabda Nabi SAW berkenaan solat Jumaat:
مَنْ راح في الساعة الأولى فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً
Mafhumnya: “Sesiapa yang hadir pada waktu yang pertama, seolah-olah dia menyembelih seekor unta. Sesiapa yang hadir pada waktu kedua, seolah-olah dia menyembelih seekor lembu dan sesiapa yang hadir pada waktu ketiga, seolah-olah dia menyembelih seekor kibas bertanduk, sesiapa yang hadir pada waktu keempat, seolah-olah dia menyembelih seekor ayam betina, dan sesiapa yang hadir pada waktu yang kelima seolah-olah dia mempersembahkan sebiji telur.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengisyaratkan sesiapa yang hadir solat Jumaat pada waktu-waktu yang berbeza itu akan memperolehi kelebihan seperti sembelihan-sembeihan yang dinyatakan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hadis ini member isyarat kepada turutan kelebihan unta, lembu dan kibas dan seterusnya.
Di samping itu, seekor kambing pula adalah lebih afdhal dalam melakukan korban berbanding perkongsian seekor unta atau lembu. Hal ini demikian kerana perbuatan sembelihan korban dan penumpahan darahnya adalah tujuan dalam melakukan ibadah korban. Ini bermakna seseorang yang melakukan ibadah korban dengan seekor kambing bermakna dia telah menumpahkan darah seekor kambing tersebut sebagai ibadah korbannya. Kibas adalah yang paling afdhal dalam kumpulan kambing untuk melakukan korban, kerana itulah korban yang dilakukan oleh Nabi SAW di samping ia memiliki daging yang lebih bagus. (Sila rujuk al-Mughni: 13/366)
Di dalam Fatwa al-Lajnah al-Daimah terdapat soalan yang berbunyi: “Manakah yang lebih Afdhal untuk dilakukan korban, Kibas atau Lembu?”
Jawab al-Lajnah al-Daimah:
Mafhumnya: “Korban yang lebih afdhal ialah unta, setelah itu lembu, setelah itu kambing, setelah perkongsian unta ataupun lembu, berdasarkan sabda Nabi SAW berkenaan solat Jumaat: “Sesiapa yang hadir pada waktu yang pertama, seolah-olah dia menyembelih seekor unta…”
Bentuk pendalilan dari hadis ini iaitulah wujud perbezaan kelebihan dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT diantara unta, lembu dan kambing, maka tidak diragukan lagi ibadah korban merupakan sebesar perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Taala. Demikian juga disebabkan unta lebih mahal, lebih banyak daging dan manfaatnya. Inilah pandangan tiga para Imam terdiri daripada Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Ahmad. Adapun Imam Malik pula berpendapat yang lebih afdhal ialah kambing al-Jaz’u, setelah itu lembu, setelah itu unta, ini disebabkan Nabi SAW telah menyembelih korban dengan dua ekor kibas, dan baginda tidak akan melakukan sesuatu melainkan yang lebih afdhal.
Namun jawapan (menolak) kepada pandangan Imam Malik ini ialah: Sesungguhnya baginda SAW kadang-kala memilih sesuatu perbuatan yang bukan lebih utama (afdhal) bertujuan memberi keringanan kepada umat, kerana umat baginda akan mencontohi baginda, lalu baginda SAW tidak suka member keberatan kepada umat baginda, sedangkan baginda telah menerangkan kelebihan unta berbanding lembu dan kambing seperti di dalam hadis yang telah disebutkan sebelum ini. Wallahu a’lam. (Fatwa al-Lajnah al-Daimah: 11/398)
0 comments:
Post a Comment