Pergi ke Halaman Depan

Thursday, October 27, 2011

Pembahagian Ulama Terhadap Bid'ah Dan Pandangan Yang Lebih Benar (11)

PEMBAHAGIAN ULAMA TERHADAP BID’AH DAN PANDANGAN YANG LEBIH BENAR

Terdapat sebahagian ulama yang telah membahagikan bid’ah kepada:

· (بدعة حسنة) : Bid’ah Hasanah atau Bid’ah yang terpuji (baik).

· (بدعة سيّئة) : Bid’ah Sayyi-ah atau Bid’ah yang tercela.

Sebahagian ulama yang lain pula membahagikan bid’ah kepada lima bahagian, seperti pembahagian hukum-hakam yang lima, iaitulah:

· (بدعة واجبة) : Bid’ah yang Wajib.

· (بدعة مستحبة) : Bid’ah yang digalakkan.

· (بدعة مكروهة) : Bid’ah yang dibenci.

· (بدعة محّرمة) : Bid’ah yang haram.

· (بدعة مباحة) : Bid’ah yang harus.[1]

Pandangan yang lebih benar dalam perkara ini ialah, semua pembahagian ini memiliki tujuan yang sama, ia menghasilkan natijah yang satu. Kerana semuanya menjadikan contoh penulisan dan pengumpulan al-Quran di dalam satu mashaf, penyusunan ilmu Nahwu, ilmu Usul al-Fiqh dan ilmu-ilmu Islam yang lainnya sebagai bid’ah yang wajib dan termasuk di dalam Fardhu Kifayah.

Manakala sebahagian yang lain, membantah perbuatan menamakan bahagian-bahagian ini sebagai bid’ah. Mereka berkata: “Pembahagian bid’ah ini dari sudut bahasa. Kami mahukan dari sudut Syarak. Adapun perkara-perkara (yang dijadikan contoh itu) kami tidak masukkannya ke dalam bid’ah. Tidak bagus untuk dinamakan perkara-perkara (contoh-contoh) itu sebagai bid’ah, yang lebih utama ialah kita berpada dengan hadith yang mulia. Kerana hadith datang dengan lafaz yang jelas dan terang: “(iaitulah maksudnya: “Maka setiap yang bid’ah itu adalah sesat.” Dengan lafaz yang umum. Maka apabila hadith menyebut “setiap yang bid’ah itu adalah sesat.” Tidak boleh ada yang mendakwa dengan berkata: “Sesungguhnya antara bid’ah itu ada yang Hasan (baik), yang buruk, yang wajib, yang digalakkan dan seterusnya. Tidak boleh ada yang mendakwa dengan pembahagian ini.”

Yang lebih benarnya hendaklah kita katakan sama seperti hadith yang menyebut:

“Maka setiap yang bid’ah itu adalah sesat”

Iaitulah yang kami maksudkan dengan bid’ah yang telah diteliti definasinya oleh al-Imam al-Syatibi, sebagai:

البِدْعَةُ طَرِيْقَةٌ فِيْ الدِّيْنِ مُخْتَرَعَةٌ

Maksudnya: “al-Bid’ah adalah satu jalan dalam agama yang direka.”

Yang tidak ada asalnya di dalam Syarak, tidak ada asas dari al-Kitab (al-Quran), al-Sunnah, Ijma’, Qiyas, Maslahah Mursalah, dan ia juga tiada dibina dari satu dalil dari dalil-dalil yang disebut oleh para Fuqaha umat Islam.



[1] Al-Imam al-Syatibi telah membincangkan pembahagian ini secara terperinci. Dari perbincangannya itu beliau telah menetapkan bahawa pembahagian ini adalah suatu rekaan yang tidak ditunjuk oleh mana-mana dalil Syarak, bahkan ia saling bertentangan. Ini kerana hakikat bid’ah ialah suatu yang tidak ditunjukkan oleh dalil Syarak, bukan dari nas-nas Syarak bukan juga dari kaedah-kaedahnya. Sekiranya terdapat sesuatu (dari agama) yang menunjukkan perkara tersebut wajib atau sunat atau harus, tidak boleh ia dinamakan sebagai bid’ah. Sebaliknya amalan tersebut termasuk di dalam keumuman amalan-amalan yang disuruh atau yang diberi pilihan melakukannya. Sila lihat al-I’tisom: 1/188-211. cetakan: Dar al-Ma’rifah, Beirut.

No comments:

Post a Comment