Pergi ke Halaman Depan

Friday, September 23, 2011

Kepentingan Istighfar

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak


Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


Mafhumnya: “Maka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (11) Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, (12) Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Nuh 10 – 12)


Al-Imam al-Qurtubi berkata: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (bermaksud): “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu” iaitu Mintalah kepada Allah keampunan dari dosa-dosa yang lalu beserta mengikhlaskan keimanan kepadanya. (firman Allah yang bermaksud:) “Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” Iaitu, Dia (Allah) sentiasa Maha Pengampun bagi sesiapa yang kembali kepadaNya, ia merupakan galakan supaya bertaubat. (Firman Allah yang bermaksud:) “Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu.” Iaitu Dia akan mengirimkan air dari langit (hujan yang lebat), (firman Allah yang bermaksud:) “dan Dia akan membanyakkan harta dan anak-pinakmu, dan mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai yang mengalir untukmu.” Berkata al-Sya’bi: “Umar pernah keluar untuk memohon hujan (
الإستسقاء), kemudian beliau pulang (tanpa menunaikan sebaran solat), setelah itu, hujan turun. Orang ramai bertanya kepadanya: kami tidak anda memohon diturunkan hujan (dengan menunaikan solat al-istisqa). ‘Umar menjawab: Sesungguhnya aku telah memohon hujan dengan anak kuncinya (مجاديح), kemudian beliau membaca firman Allah Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu. Perkataan مَجَادِيْح (yang diterjemahkan sebagai anak kunci) asalnya dari perkataan Mijdah (مِجْدَح) yang bermaksud bintang, ini kerana masyarakat Arab dahulunya menyangka bintang itu menurunkan hujan. Lalu ‘Umar Radhiyallah ‘anhu hendak menjelaskan kesalahan sangkaan itu, maka beliau menjelaskan bahawa beliau memohon hujan dengan sebab yang betul iaitulah dengan beristighfar bukan dengan memohon kepada bintang.


Kata Ibn Subaih: Pernah juga seorang lelaki mengadu kepada al-Hasan tentang kemarau, beliau menjawab: Beristighfarlah kepada Allah. Datang orang lain pula mengadu kepadanya tentang kefakiran yang dialaminya, beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah. Datang lagi kepadanya seorang lelaki dan berkata: Doakanlah kepada Allah supaya Dia mengurniakan anak kepadaku. Beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah. Datang orang lain pula mengadu tentang kebunnya yang kering, beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah. Kami bertanya kepada al-Hasan tentang jawapan-jawapannya itu, beliau menjawab: Aku tidak mengatakan sesuatu dari diriku, kerana sesungguhnya Allah SWT telah berfirman di dalam surah Nuh: “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (11) Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, (12) Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Nuh 10 – 12).” (Tafsir al-Qurtubi 18/301-303)


Beberapa Sighah Istigfar


Daripada Shaddad bin Aus Radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: Penghulu istighfar ialah dengan kamu membaca:


اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ

أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ



Mafhumnya: Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang disembah melainkan Dikau yang telah menciptaku. Daku adalah hambaMu dan daku berada di atas perjanjianMu sekadar mampuku, daku berlindung dengan Mu dari kejahatan apa yang telah daku lakukan, daku mengaku kepadaMu banyaknya nikmatMu kepadaku, dan daku juga mengaku banyaknya dosaka, oleh itu ampunilah daku, kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Dikau. Nabi seterusnya bersabda: Sesiapa yang mengucapkan kalimat ini pada siang hari, dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum petang, maka dia termasuk dari kalangan ahli syurga. Sesiapa yang mengucapkan kalimat ini pada awal malam dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum datangnya pagi, dia termasuk dari kalangan ahli syurga.” (HR al-Bukhari)


Daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam sentiasa berdoa (beristighfar) dengan doa ini:


رَبِّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي كُلِّهِ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي خَطَايَايَ وَعَمْدِي وَجَهْلِي وَهَزْلِي وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Mafhumnya: “Tuhanku, ampunilah kesalahanku, kejahilanku, kemelampauan dalam urusanku keseluruhannya, apa yang Engkau Lebih Mengetahui tentangnya dariku. Ya Allah ampunilah kesalahanku secara sengaja, jahil atau bermain-main dan kesemuanya sekali. Ya Allah ampunilah daku, apa-apa yang telah lalu dan akan datang, yang tersembunyi dan nyata, sesungguhnya Engkau yang Terdahulu dan Terakhir, dan Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


Daripada Ibn ‘Umar Radhiyallahu ‘anhuma yang berkata: “Sesungguhnya kami pernah mengira Rasulullah Sallallah ‘alaih wa sallam dalam satu majlis membaca:

رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَتُبْ عَلَيَّ إنَّكَ أنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْم


Mafhumnya: “Tuhanku, ampunilah daku, dan berilah taubat kepadaku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang” sebanyak seratus kali.” (HR al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)


Daripada Abu Yasar, Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: “Sesiapa yang menyebut:

أسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْم الَّذِيْ لَا إِلهَ إلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّوْمَ وَأتُوْبُ إلَيْهِ



Mafhumnya: “Daku memohon keampunan daripada Allah yang Maha Agung, yang tidak ada tuhan yang disembah melainkan Dia yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri, dan daku bertaubat kepadaNya.” Akan diberi keampunnan kepadanya, sekalipun dia telah dari dari peperangan.” (HR al-Tirmizi dan Abu Daud)


Daripada Abu Bakr al-Siddiq Radhiyallahu ‘anhu yang berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam: “Ajarkan kepada saya satu doa untuk saya berdoa dengannya di dalam solat saya. Jawab Baginda, bacalah:

اللّهُمَّ إنِّيْ ظَلَمْتُ نَفْسِيْ ظُلْماً كَثِيْراً وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إلَّا أنْتَ فَاغْفِرْ لِيْ مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِيْ إنَّكَ أنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْم


Mafhumnya: Ya Alah, sesungguhnya daku telah banyak menzalimi diriku, tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, oleh kerana itu, ampunilah daku dengan keampunan dari sisiMu, dan rahmatilah daku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (HR al-Bukhari dan Muslim)





No comments:

Post a Comment