Pergi ke Halaman Depan

Thursday, September 22, 2011

Hukum Buang Bulu Di Badan Yang Terlalu Banyak

Assalamualaikum ustaz, saya ada masalah berkaitan dengan fizikal saya. Saya menghadapi masalah bulu roma yang terlalu lebat hampir ke seluruh anggota badan termasuk di belakang, perut, dan beberapa bahagian lain yang sepatutnya tidak mempunyai bulu. Masalah ini membuatkan saya sentiasa tidak yakin untuk berhadapan dengan masyarakat kerana sering saya diejek. Saya ingin membuangnya dengan teknik lesar yang mana telah diperkenalkan di negara kita. apakah pandangan ustaz mengenai masalah saya. adakah ia diketogorikan sebagai rawatan atau mengubah ciptaan.

Jawapan:

Saudara boleh membuang bulu-bulu roma tersebut sekiranya ia terlalu banyak. Sekiranya ia tumbuh dalam bentuk kebiasaan, maka terdapat sebahagian ulama yang mengharamkannya atas alasan termasuk dalam mengubah ciptaan Allah. Namun sebahagian ulama yang lain mengharuskan membuangnya sama ada banyak atau sedikit kerana ia termasuk perkara yang didiamkan oleh Allah SWT. Nabi SAW bersabda:

وَ مَا سَكَتَ اللهُ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Mafhumnya: “Apa-apa yang didiamkan oleh Allah tentangnya, maka perkara itu dimaafkan.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani).

Dimaafkan dalam ertikata sama ada hendak membiarkan atau membuangnya. Kerana itu, terdapat ulama yang membahagikan bulu roma yang terdapat pada badan manusia kepada tiga bahagian:

1. Bulu roma yang diharamkan untuk dibuang iaitulah seperti bulu kening.

2. Bulu roma yang disunatkan untuk dibuang iaitulah seperti Misai, bulu ketiak dan bulu kemaluan.

3. Bulu roma yang didiamkan oleh Syarak. Maka bulu-bulu roma dari bahagian ini termasuk dalam perkara yang diberi pilihan sama ada hendak membiarkan atau membuangnya.

Justeru, hukum bulu-bulu roma yang ditanya di dalam soalan yang menimbulkan masalah pada saudara, pada pandangan kami termasuk dalam bahagian bulu roma yang didiamkan oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Oleh yang demikian ia terpulang kepada pilihan saudara, saudara berhak membuangnya dengan apa-apa cara yang bersesuaian dan tidak mendatangkan mudharat lain, disamping perlu dielakkan dari menyerupai wanita.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment