Pergi ke Halaman Depan

Monday, September 12, 2011

Batas Aurat Wanita Muslimah di hadapan wanita kafir

Soalan:

Apakah batas aurat wanita muslimah di hadapan wanita bukan muslimah? Terima kasih.

Jawapan:

Para ulama berbeza pandangan tentang batas aurat wanita muslimah di hadapan wanita bukan muslimah. Sebab perbezaan pandangan ini kerana berbeza cara faham mereka terhadap ayat dari surah al-Nur: 31, Allah SWT berfirman:

ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن …أو نسائهن

Mafhumnya: “Dan jangan para wanita itu menampakkan perhiasan (aurat) mereka melainkan kepada suami-suami mereka…atau kepada para wanita.” Para ulama berbeza pandangan dalam menafsirkan kalimah nisak (wanita) di sini antaranya:

1. Dimaksudkan nisak (wanita) muslimat sahaja.

2. Dimaksudkan kepada semua wanita sama ada muslimat atau bukan.

Pandangan yang lebih benar ialah harus wanita menampakkan auratnya di hadapan wanita bukan islam melainkan jika dibimbangi berlakunya keburukan yang lain seperti bimbang wanita bukan islam itu akan menceritakan cirri-ciri tubuh badan wanita muslim kepada lelaki ajnabi, maka pada ketika itu wajib menutup aurat tidak kira di hadapan wanita kafir atau wanita muslimah yang rosak akhlaknya.

Antara bukti yang menunjukkan pandangan yang lebih benar ialah harus wanita muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita bukan islam ialah hadis ‘Aisyah RA yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang menyebut seorang wanita Yahudi pernah menemui beliau (‘Aisyah) di dalam rumahnya, dan tidak diriwayatkan beliau menutup aurat pada ketika itu.

Al-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz RH menyebut:

لا يجب الاحتجاب عنهن - أي : غير المسلمات - فهنَّ كسائر النساء في أصح قولي العلماء

Mafhumnya: “(Wanita muslimah) Tidak wajib berhijab di hadapan wanita bukan islam, mereka adalah sama seperti wanita lainnya berdasarkan pandangan yang lebih benar dari dua pandangan ulama yang ada.” (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah 2/582)

Oleh yang demikian, aurat seorang wanita muslimah yang dibenarkan untuk diperlihatkan kepada wanita lain ialah aurat yang dibenarkan ketika dia bersama dengan mahramnya . al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:

لها أن تكشف لمحارمها عن الوجه والرأس والرقبة والكفين والذراعين والقدمين والساقين ، وتستر ما سوى ذلك

Mafhumnya: “Bagi seorang wanita muslimah itu dia boleh membuka aurat kepada mahramnya terdiri dari muka, kepala, lutut, dua tapak tangan dan hasta, dua betis dan lengan, manakala dia tutup aurat yang selain dari itu.”(Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah 1/417)

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment