Thursday, August 18, 2011

Hukum Berterusan Membaca Doa Beramai-Ramai

Soalan:

Apakah hukum apabila melakukan doa rutin beramai-ramai sebelum memulakan pekerjaan? Imam Ahmad bin Hambal ditanya: Adakah ditegah suatu kumpulan berkumpul sambil mereka berdoa dan mengangkat tangan mereka? Jawab Imam Ahmad: Aku tidak menganggapnya suatu yg dibenci, jika mereka tidak berkumpul secara berterusan.

Jawapan:

Perkara yang sepatutnya diberi perhatian oleh umat Islam ialah berusaha bersungguh-sungguh mencontohi sunnah Nabi SAW sepertimana yang ditunjukkan oleh baginda dari sudut sifat, bentuk dan kadar. Hal ini demikian kerana mengikuti Sunnah Baginda itu memiliki kebaikan, rahmat, keampunan dari Allah SWT dan menatijahkan persaudaraan sesama muslim. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللهَ فَاتَّبِعُوْنِيْ يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَاللهُ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ

Mafhumnya: “Katakanlah jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah SAW), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Ali Imran: 31)

Melihat kepada kepentingan berpegang teguh dengan Sunnah Nabi SAW ini, ia mendorong ‘Abdullah bin Mas’ud RA berkata:

الاِقْتِصَادُ فِيْ السُّنَّةِ خَيْرٌ مِنَ الْاِجْتِهَادُ فِيْ الْبِدْعَةِ

Mafhumnya: “Berpada dengan sunnah adalah lebih baik dari bersungguh-sungguh melakukan perkara yang dibimbangi termasuk ke dalam bid’ah.” (diriwayatkan al-Tobrani 10/208. Diriwayatkan juga oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak 1/103 dan berkata: Hadis ini Musnad Sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, akan tetapi mereka tidak memuatkannya di dalam kitab Sahih mereka berdua.” Perkataan al-Hakim ini dipersetujui oleh al-Zahabi)

Termasuk di dalam perkara yang disyariatkan oleh Nabi SAW ialah berdoa. Namun tidak terdapat bukti baginda berterusan melakukan doa secara berjemaah melainkan di beberapa tempat yang khusus seperti doa al-Istisqa dan seumpamanya. Demikian juga baginda tidak pernah memberi galakan kepada para sahabat baginda untuk sentiasa berterusan berdoa secara berjemaah. Sebaliknya Nabi dan para sahabat dalam kebanyakan keadaan akan berdoa secara bersendirian. Namun sekiranya dalam sesuatu majlis dilakukan doa secara berjemaah dalam ertikata doa itu dibacakan oleh seseorang manakala yang lain mengaminkannya maka perkara ini tidak mengapa. Akan tetapi sekiranya dijadikan kebiasaan maka dibimbangi ia termasuk dalam perkara yang dilarang kerana bersalahan dengan sunnah Nabi SAW. Ini kerana sesungguhnya sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk dari Nabi SAW.

Wallahu a’lam.

0 comments: