Soalan:
Apakah menulis ayat-ayat perlindungan yang terdiri dari ayat al-Quran dan seumpamanya, seterusnya menggantungkannya ditengkuk merupakan perbuatan syirik ?
Jawapan:
Telah thabit dari Nabi SAW yang bersabda:
Apakah menulis ayat-ayat perlindungan yang terdiri dari ayat al-Quran dan seumpamanya, seterusnya menggantungkannya ditengkuk merupakan perbuatan syirik ?
Jawapan:
Telah thabit dari Nabi SAW yang bersabda:
إنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتُّوَلَةَ شِرْكٌ
Mafhumnya: “Sesungguhnya jampi (yang tidak dibenarkan), tangkal dan al-Tuwalah adalah syirik.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim, beliau juga menghukumkan hadis ini sebagai Sahih)
Kalimah al-Tuwalah atau boleh juga dibaca al-Tiwalah iaitulah sejenis sihir. Al-Asma’ie (الأصمعي) berkata: ia adalah sihir yang dilakukan untuk menjadikan seorang suami mencintai isterinya.(Lihat Nail al-Awtor, Abwab al-Tibb, Ma Ja’a fi al-Ruqa wa al-Tamaim oleh Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani)
Nabi SAW bersabda lagi:
من تعلق بتميمة فلا أتم الله له ، ومن تعلق ودعة فلا ودع الله له
Mafhumnya: “Sesiapa yang bergantung dengan tangkal, Allah tidak akan menyempurnakan tujuannya itu, dan sesiapa yang menggantung Wada’ah, Allah tidak akan member ketenangan kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, al-Hakim dan beliau menghukumkan Sahih, daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RH)
Ungkapan yang bermaksud “Sesiapa yang bergantung dengan tangkal” membawa kefahaman hatinya bergantung kepada tangkal dan boleh juga membawa kefahaman dia menggantungkan tangkal, kerana sesiapa yang menggantungkan tangkal sudah pasti hatinya juga akan bergantung kepada tangkal tersebut. Perbuatan ini merupakan satu kesyirikan.
Yang dimaksudkan dengan al-Tamimah atau tangkal ialah sesuatu yang digantungkan atau dipakaikan kepada anak-anak atau selainnya bertujuan menolak ‘Ain, Sihir, penyakit dan seumpamanya. Ia juga membawa maksud setiap sesuatu yang digantung di badan, di kereta, di rumah, di kedai dan seumpamanya bertujuan menolak ‘Ain dan kejahatan Jin atau dapat mendatangkan kebaikan.
Semua jenis tindakan ini adalah Haram, ia merupakan Syirik Kecil (dosa besar) dan kadang-kalanya boleh membawa kepada Syirik Benar (terkeluar daripada Islam) jika sipelakunya berkeyakinan tangkal tersebut boleh mendatangkan kebaikan dan menolak musibah dengan sendirinya.
Adapun berkenaan tangkal yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis Nabi demikian juga tangkal dari doa-doa yang baik maksudnya, maka perkara ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Sebahagian ulama mengharuskannya dengan alasan ia sejenis jampi yang dibenarkan. Manakala sebahagian ulama lain melarang dan menghukumkannya sebagai Haram berdasarkan dua alasan:
Alasan pertama: Keumuman hadis yang melarang menggunakan tangkal dan menegaskan penggunaannya sebagai salah satu daripada kerja-kerja syirik. Justeru tidak boleh dikhususkan sesuatu jenis tangkal sebagai Harus melainkan jika ada dalil agama yang mengharuskannya, dan ternyata dalil itu tidak ada. Ia berbeza dengan berjampi kerana terdapat hadis-hadis yang Sahih yang membenarkan jampian dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis dan doa-doa yang mengandungi makna-makna yang baik, orang yang dijampi pula berkeyakinan jampi itu hanya sebagai sebab sedangkan yang menyembuhkannya adalah Allah SWT. Nabi SAW bersabda:
لا بأس بالرقى ما لم تكن شركا
Mafhumnya: “Tidak mengapa dengan jampi yang tidak mengandungi kesyirikan.” (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)
Di samping itu baginda SAW juga pernah menjampi beberapa orang dari kalangan sahabat baginda, dan baginda bersabda:
لا رقية إلا من عين أو حمة
Mafhumnya: “Tiada jampi yang lebih baik dan utama melainkan jampi kerana ‘Ain dan sengatan berbisa.” (Dinilai Sahih oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu, al-Haithami berkata: Perawi-perawinya Thiqat. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi, Sahih Abi Daud dan Sahih Ibn Majah)
Ia berbeza dengan penggunaan tangkal, dimana tidak terdapat sama sekali hadis yang mengharuskan sesuatu dijadikan sebagai tangkal. Maka wajib mengharamkan kesemua jenis tangkal sebagai mengamalkan keumuman dalil-dalil tersebut.
Alasan kedua: Sebagai menghalang berlakunya perkara syirik yang merupakan asas utama agama Islam. Dimana jika dibenarkan tangkal dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis dan doa-doa yang baik, ia akan membuka pintu kesyirikan dan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai antara tangkal yang dibenarkan dan tangkal yang dilarang, seterusnya menyukarkan proses pengasingannya maka wajib perkara ini dijauhi sebagai menutup pintu yang boleh membawa kepada syirik. Inilah pandangan yang lebih benar disebabkan jelas bukti-buktinya.
Wallahu a’lam.
Sumber: Fatwa Samahah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz. Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah. Jilid 1, halaman: 162-163.
0 comments:
Post a Comment