Monday, November 9, 2009

Kaedah Istinbath Mazhab al-Syafie Dalam Bab Wudhu 1


PENDAHULUAN


1.1 Latar Belakang Kajian

Istinbat (الاستنباط) adalah kata terbitan (مصدر) dari kalimah اسْتَنْبَطَ يَسْتَنْبِطُ اسْتِنْباطاً menurut kamus al-Muhith (المحيط)[1] ia bermaksud: أظهره بعد خفَاء واخترعه iaitu “menzahirkannya setelah tersembunyi, dan mengadakannya.” Di dalam kamus al-Ghaniy (الغني)[2] antaranya ia bermaksud: اِسْتَخْرَجَها، اِسْتَنْتَجَ iaitu “mengeluarkannya, menatijahkannya”. Kalimah Istinbat berasal dari kalimah نبط, apabila disebut نَبَطَ الْمَاءُ ia bermaksud “Memancar air itu”[3]. Maka Istinbat ialah استخراج الأمر الذي من شأنه يخفي على غير مستنبطه iaitulah “Mengeluarkan sesuatu yang tersembunyi keadaannya melainkan bagi Mustanbit (yang mengeluarkannya).”[4] Dalam pengertian yang mudah Istinbat ialah mengeluarkan sesuatu yang tersembunyi bagi kebanyakan orang, melainkan perkara itu dapat dilihat oleh orang-orang yang berkeahlian dalam sesuatu bidang.

Manakala kalimah Mazhab (مذهب) pula merupakan Isim Makan iaitu kata nama tempat dari kalimah ذَهَبَ yang bererti pergi. Oleh yang demikian Mazhab bermaksud tempat pergi atau jalan. Dari sudut Istilah pula, mazhab membawa maksud: “Sejumlah dari fatwa-fatwa dan pendapat-pendapat seorang alim besar di dalam urusan agama, baik ibadah mahupun urusan lainnya.”[5] Dr. Sa’id Ramadhan al-Buthi pula mentakrifkan Mazhab sebagai: “Jalan fikiran yang ditempuh oleh seorang imam mujtahid di dalam menetapkan sesuatu hukum islam dari al-Quran dan Hadith.”[6]

Para ulama mazhab-mazhab yang diikuti seperti Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali telah memberi perhatian yang khusus dalam mengeluarkan sesuatu hukum-hakam agama. Mereka telah menggunakan kaedah-kaedah tertentu yang tersusun kukuh dalam mengistinbatkan sesuatu hukum seperti yang dibincangkan di dalam ilmu Usul al-Fiqh (أصول الفقه). Kaedah-kaedah yang mereka tempuh dipelajari dan dibahaskan pula oleh generasi kemudian di kalangan umat Islam sebagai bukti pemerhatian besar yang diberikan kepada peninggalan ulama terdahulu untuk memahami hukum-hakam agama.

Sekalipun kaedah-kaedah ini tidak didapati tersusun di zaman Nabi S.A.W. dan para sahabat, namun suatu yang tidak dapat disangkal oleh sesiapapun bahawa para sahabat juga menggunakan kaedah-kaedah ini. Cuma sahaja mereka tidak menyebutnya dalam bentuk yang tersusun seperti yang dilakukan oleh para ulama kemudian daripada mereka. Perkara ini dapat dibuktikan melalui pandangan-pandangan para sahabat Nabi S.A.W. dalam hal hukum-hakam. Sebagai contoh para sahabat telah mempraktikkan kaedah al-Nasikh wa al-Mansukh[7] dalam persoalan ‘Iddah[8] wanita hamil yang kematian suaminya, antara mereka ialah Ibn Mas’ud yang berpendapat ayat 4 dari surah al-Tolaq berperanan sebagai al-Nasikh kepada ayat 234 dari surah al-Baqarah.[9]


Penulisan ini akan cuba mengetengahkan kaedah istinbath yang digunakan oleh para ulama mazhab al-Syafie ketika mengeluarkan sesuatu hukum dalam persoalan wudhu. Kaedah ini dapat dikenal pasti melalui ungkapan-ungkapan para ulama mazhab al-Syafie seperti al-Imam al-Nawawi di dalam kitab-kitab beliau, dari kitab-kitab karangan al-Imam al-Syafie sendiri seperti al-Umm dan al-Risalah, kitab-kitab mutaakhir dari kalangan ulama mazhab al-Syafie seperti al-Fiqh al-Manhaji, al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, demikian juga dari kitab-kitab perbandingan fiqh yang lain seperti Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah, Fiqh al-Sunnah dan lain-lain lagi. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada umat Islam hari ini kepada kaedah yang digunakan oleh para ulama dalam mengeluarkan sesuatu hukum-hakam agama.

------------------

[1] Al-Basyir Ibn Salamah, Kamus al-Muhit pada kalimah استنبط
[2] Dr. ‘Abd al-‘Ghaniy Abu al-‘Azam, Kamus al-Ghaniy, pada kalimah استنبط
[3] Muhammad Idris Abd al-Raus al-Marbawi, Kamus al-Marbawi, Cet. Mustafa al-Babi al-Halabiy, m.s. 296
[4] Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’ien, Dar Kutub al-Ilmiyyah, Beirut 1/172
[5] A. Hassan, Risalah al-Mazhab, Pustaka Abdul Muis, Bangil, hal.3
[6] Dr. Sa’id Ramadhan al-Buthi. Al-Lamazhabiah; Akhtaru Mazhabin Tuhaddidu al-Syariah al-Islamiah, Dar al-Farabi, Damsyiq, hlm. 97
[7] Al-Nasikh wa al-Mansukh dari sudut istilah bermaksud: “Terangkat sesuatu hukum syara’ disebabkan sesuatu khitab syari’e (yang lain).” Ia berlaku apabila dapat dipastikan antara yang dahulu dan kemudian dari dua nas atau lebih yang seolah-olah bertentangan,di mana nas yang kemudian berperanan membatalkan hukum nas yang terdahulu”. Sila lihat al-Wajiz fi Ulum al-Kitab al-‘Aziz, hlm 147-148
[8] ‘Iddah ialah: “Tempoh yang perlu ditunggu oleh seorang wanita, dan dia tidak boleh berkahwin dalam tempoh itu selepas berpisah dengan suaminya samaada disebabkan kematian, perceraian, fasakh, kulu’ dan seumpamanya. Tujuannya untuk mengetahui ia tidak mengandung dari perkahwinan dengan suaminya dahulunya, bimbang berlakunya percampuran nasab jika dia berkahwin dengan lelaki yang lain.” Lihat Ibhaj al-Mu’min bi Syarh Minhaj al-Salikin, hlm 319
[9] Dr. Mustafa Sa’id al-Khin, al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafie. Dar al-Nafais, hlm. 8

0 comments: