Monday, November 9, 2009

Kaedah Istinbath Mazhab al-Syafie Dalam Bab Wudhu 3



1.3 Kepentingan Kajian

Sejak zaman berzaman mazhab al-Syafie merupakan mazhab yang menjadi ikutan di Malaysia. Mazhab yang bernaung di bawah aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah[1] ini diterima oleh orang Melayu sebagai rujukan dalam mengamalkan agama kerana mematuhi arahan Allah S.W.T.:

فَاسْأَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ

Maksudnya: “Maka hendaklah kamu semua bertanya kepada Ahli Ilmu, jika kamu tidak mengetahui.”[2]

Al-Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyebut:

لم يختلف العلماء أن العامة عليها تقليد علمائها، وأنهم المراد بقول الله عز وجل: " فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون" و أجمعوا على أن الأعمى لا بد له من تقليد غيره ممن يثق بميزه بالقبلة إذا أشكلت عليه; فكذلك من لا علم له ولا بصر بمعنى ما يدين به لا بد له من تقليد عالمه، وكذلك لم يختلف العلماء أن العامة لا يجوز لها الفتيا; لجهلها بالمعاني التي منها يجوز التحليل والتحريم

Maksudnya: “Para ulama tidak berbeza pandangan, orang awam perlu bertaqlid kepada para ulama mereka, para ulama merekalah yang dimaksudkan di dalam firman Allah ‘azza wa jalla: “Maka hendaklah kamu semua bertanya kepada Ahl al-Ilmu, jika kamu tidak mengetahui.” Dan para ulama juga telah bersepakat bahawa seorang buta mesti bertaklid kepada orang lain yang mengetahui arah kiblat, jika dia tidak tahu, maka demikian juga bagi orang yang tidak ada ilmu mesti bertaklid kepada orang yang alim. Demikian juga ulama tidak berbeza pendapat orang awam tidak boleh berfatwa dalam keadaannya yang jahil tentang makna-makna (ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah) yang daripadanya boleh diletakkan hukum halal dan haram.”[3]

Ketiadaan maklumat tentang kaedah-kaedah penghasilan sesuatu hukum oleh para ulama menjadi sebab sebahagian umat Islam cepat terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang salah. Oleh yang demikian usaha mengetengahkan kaedah-kaedah ini dirasakan amat perlu dilakukan bagi memberi gambaran yang sebenarnya kepada proses pengeluaran sesuatu hukum. Pendedahan ini dipercayai mampu mematangkan kefahaman umat Islam terhadap hukum-hakam agama seterusnya dapat membenteras dari kefahaman salah dan kefahaman taqlid membuta tuli.


---------------------------------

[1] Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang ditakrifkan oleh Ibn Hazm ialah: “Ahl al-Sunnah mereka yang kita sebut sebagai Ahl al-Haq, dan selain mereka ialah Ahl al-Bid’ah , mereka terdiri dari kalangan para sahabat R.A. dan semua orang yang mengikuti manhaj mereka, iaitu para Tabi’ien R.H., Ashab al-Hadith dan pengikut mereka dari kalangan para Fuqaha’, generasi demi generasi sampai ke hari ini dan pengikut mereka yang terdiri dari orang-orang awam di timur dan barat.” Lihat Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, (الفصل في الملل والأهواء و النحل) Dar al-Ma’arif, Beirut, c. 11, 1395, 2/113
[2] Al-Quran, Al-Nahl 16:43 dan al-Anbiya’ 21: 7
[3] Al-Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi terhadap ayat 7 dari surah al-Anbiya’

0 comments: