Tuesday, December 23, 2014

Bila Sempurnanya Pembentukan Janin Di Dalam Rahim?

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Di dalam al-Quran dinyatakan penciptaan manusia di dalam rahim ibunya melalui 3 fasa iaitulah Nutfah (titisan air mani), ‘Alaqah (segumpal darah) setelah itu Mudhghah (segumpal daging) dan bermulanya pembentukan tulang. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “kemudian kami ciptakan Nutfah (air mani itu) segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. kemudian Kami jadikan Dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.” (al-Mukminun: 14)

Persoalan sempurnanya pembentukan janin di dalam perut ibu mengandung menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Apakah fasa Nutfah (air mani), ‘Alaqah (segumpal darah), Mudhghah (segumpal daging) dan pembentukan tulang berlaku dalam tempoh 40 hari atau 120 hari. Perbezaan ini timbul disebabkan berlaku pertentangan yang zahir dalam sebahagian riwayat hadis yang membicarakan tajuk ini.

RIWAYAT HADIS AL-BUKHARI DAN MUSLIM

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya, daripada ‘Abdullah bin Mas’ud katanya: “Rasulullah SAW yang benar lagi dibenarkan telah menceritakan kepada kami:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ في ذلك عَلَقَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَكُونُ في ذلك مُضْغَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فيه الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أو سَعِيدٌ فَوَا الَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وان أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: Sesungguhnya setiap orang daripada kamu, dihimpunkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dalam tempoh itu menjadi segumpal darah seperti itu juga, kemudian dalam tempuh itu menjadi seketul daging seperti itu juga. Setelah itu diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan ke dalamnya ruh dan diperintahkan dengan 4 perkara: ketentuan rezeki, ajal, amalan, bahagian atau sengsara…” (HR Muslim)

Hadis dari Abdullah bin Mas’ud juga yang diriwayatkan oleh al-Bukhari pula dengan lafaz:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَبْعَثُ الله مَلَكًا
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang daripada kamu, dihimpunkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah seperti tempoh  itu juga, kemudian menjadi seketul daging seperti tempoh itu juga, setelah itu Allah mengutuskan kepadanya malaikat…” (HR al-Bukhari)

Jika diperhatikan dari dua riwayat yang berbeza ini, hadis yang diriwayatkan oleh Muslim terdapat lafaz tambahan yang tidak terdapat di dalam riwayat al-Bukhari. Lafaz tambahan tersebut ialah ungkapan في ذلك yang diterjemahkan sebagai “dalam tempoh itu” (dihitamkan dalam terjemahan hadis Muslim).

Keberadaan lafaz tambahan ini boleh membawa maksud yang berbeza kepada hadis. Kerana itu para ulama yang mensyarahkan hadis berbeza pandangan bilakah sempurnanya himpunan penciptaan janin di dalam rahim ibunya. Apakah setelah 40 hari atau setelah 120 hari.

PANDANGAN PERTAMA

Himpunan penciptaan janin menjadi sempurna selepas 120 hari. Kefahaman ini berdasarkan lafaz hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, dimana lafaz مثل ذلك membawa maksud persamaan tempoh 40 hari yang boleh diterjemahkan sebagai “Seperti tempoh itu juga”. Maka hasilnya penciptaan janin di dalam rahim berada selama 40 hari dalam keadaan Nutfah, 40 hari dalam keadaan ‘Alaqah dan 40 hari lagi berada dalam keadaan Mudhghah. Terhasilnya jumlah keseluruhannya sebanyak 120 hari. Setelah tempoh ini barulah diutuskan malaikat dan ditiupkan ruh. Antara ulama yang berpandangan sebegini ialah al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Syarh al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim, Badr al-Din al-‘Aini al-Hanafi di dalam kitabnya ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar Abu Fadhl Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Hajar al-‘Asqalani (M852H) di dalam kitabnya Fath al-Bari, al-Qadhi ‘Iyadh, Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar bin ‘Abd al-Qadir al-Syanqiti (M1393H) di dalam kitab tafsirnya Adhwa’ al-Bayan Fi Idhah al-Quran bi al-Quran, al-Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya, Ibn al-Qayyim Muhammad bin Abi Bakr Ibn Qayyim al-Jauziyyah dan Ibn ‘Asyur di dalam kitab tafsirnya al-Tahrir wa al-Tanwir.

PANDANGAN KEDUA

Himpunan penciptaan janin sempurna selepas tempoh 40 hari. Antara yang berpandangan sebegini ialah Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abd al-Wahid al-Ansori Kamaluddin yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Zamlakani (ابن الزملكاني). Beliau merupakan seorang faqih, dan mengepalai para ulama mazhab al-Syafie di zamannya. Beliau dilahirkan pada 667H dan meninggal pada 727H. Di kalangan ulama terkemudian yang mengambil pandangan ini ialah al-Syeikh ‘Abd al-Majid al-Zindani dan Dr. ‘Abdullah al-Musleh.

PANDANGAN PILIHAN

Setelah dihimpun dan diteliti setiap nas yang menyebut permasalahan ini, menurut huraian para ulama yang berbagai. Maka ia jelas menunjukkan bahawa pandangan  yang mengatakan mudhghah  (ketulan daging) tidak akan sempurna dan ruh tidak akan ditiupkan melainkan setelah melalui tempoh selama 120 hari adalah pandangan yang lemah berdasarkan bukti-bukti berikut:

1.    Hadis daripada ‘Abdullah bin Mas’ud di atas diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Namun hadis yang diriwayatkan oleh Muslim terdapat lafaz tambahan iaitulah في ذلك di dua tempat, iaitulah sebelum perkataan علقة dan مضغة. Tambahan ini adalah tambahan yang sahih, dikira sebagai termasuk dalam asal teks hadis setelah dihimpunkan riwayat-riwayat yang berbagai.

2.    Al-Quran telah menyebut tulang-belulang janin terbentuk selepas fasa Mudhghah (ketulan daging). Setelah itu terdapat pula hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah bin Asid, dimana Nabi SAW telah menyatakan permulaan pembentukan tulang-belulang bermula setelah malam yang ke-42. Baginda SAW bersabda:

إِذَا مَرَّ بِالنُّطْفَةِ ثِنْتَانِ وَأَرْبَعُونَ لَيْلَةً بَعَثَ اللَّهُ إِلَيْهَا مَلَكًا فَصَوَّرَهَا وَخَلَقَ سَمْعَهَا وَبَصَرَهَا وَجِلْدَهَا وَلَحْمَهَا وَعِظَامَهَا ثُمَّ قَالَ يَا رَبِّ أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى فَيَقْضِي رَبُّكَ مَا شَاءَ وَيَكْتُبُ الْمَلَكُ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ أَجَلُهُ فَيَقُولُ رَبُّكَ مَا شَاءَ وَيَكْتُبُ الْمَلَكُ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ رِزْقُهُ فَيَقْضِي رَبُّكَ مَا شَاءَ وَيَكْتُبُ الْمَلَكُ ثُمَّ يَخْرُجُ الْمَلَكُ بِالصَّحِيفَةِ فِي يَدِهِ فَلَا يَزِيدُ عَلَى مَا أُمِرَ وَلَا يَنْقُصُ 

Maksudnya: “Apabila nutfah melalui 42 malam, Allah akan mengutuskan kepada janin itu malaikat, lalu ditetapkan rupanya, diciptakan pendengaran, penglihatan, kulit, daging dan tulang-belulangnya. Kemudian malaikat bertanya: “Wahai Tuhan, Lelaki atau perempuan?” Lalu Tuhanmu menetapkan apa yang dikehendakiNya, dan malaikat mencatitnya. Kemudian malaikat bertanya lagi: “Wahai tuhan, bagaimana dengan ajalnya?” Lalu Tuhanmu mengarahkan berdasar apa yang dikehendakiNya.” Dan dicatit oleh malaikat. Kemudian malaikat bertanya lagi: “Wahai Tuhan, bagaimana dengan rezekinya?” Lalu Tuhanmu menetapkan rezeki untuknya berdasar apa yang dikehendakiNya. Dan dicatit oleh malaikat. Setelah itu malaikat akan bawa keluar satu lembaran di tangannya, maka tidak akan bertambah mahupun berkurang terhadap apa yang telah diperintahkan.” (HR Muslim, Kitab al-Qadar, Bab Kaifiyyah Khalq al-Adami Fi Batn Ummih wa Kitabah Rizqih wa ajalih wa ‘amalih wa syaqawatih wa Sa’adatih. Hadis bilangan 2645, 4783)

Oleh itu pandangan yang mengatakan tulang-belulang mula terbentuk selepas 120 hari adalah bertentangan dengan zahir hadis ini.

3.    Penyelidikan-penyelidikan terkini berkaitan janin di dalam perut ibu membuktikan pembentukan tulang bermula sebaik sahaja janin melepasi minggu ke-6. Penemuan ini menguatkan lagi makna zahir yang jelas dari hadis Huzaifah berdasarkan riwayat Imam Muslim ini.




Perubahan janin dari usia 1 hari, 7 hari, 35 hari, 42 hari sehingga 49 hari. Ketika janin berusia 42 hari ia telah berbentuk seorang insan. (sumber: http://www.kaheel7.com/)


Kebanyakan janin ketika berumur 5 minggu. Masih tidak kelihatan seorang insan.


41 hari.


Janin ketika berumur 41 dan 44 hari. Ketika berumur 44 hari jelas kelihatan ciri-ciri seorang insan. Mata mula terbelah dan telinga mula terbentuk.


RUJUKAN KATA NAMA ISYARAT

Permasalah berikutnya yang perlu diselesaikan ialah berkaitan Isim al-Isyarah yang terdapat di dalam hadis, iaitulah: مثل ذلك yang diterjemahkan sebagai “seperti itu juga”.

Setelah diterima tambahan ayat في ذلك yang terdapat dalam riwayat Muslim yang membawa kefahaman proses perubahan daripada setitis air mani kepada segumpal darah seterusnya menjadi segumpal daging berlaku dalam tempoh masa 40 hari bukan 120 hari. Maka sudah tentu مثل ذلك yang bermaksud “Seperti itu juga” bukan merujuk 40 hari dalam keadaan setitis air mani, 40 hari segumpal darah dan 40 hari lagi sebagai ketulan daging.

Jika demikian, مثل ذلك yang bermaksud “Seperti itu juga” sama ada merujuk kepada ‘Himpunan Ciptaan’  (جمع الخلق) atau merujuk kepada ‘Perut Ibu’ (بطن الأم). Ini kerana مثل ذلك adalah lafaz umum yang jika dapat dikenalpasti penjelasannya, maka hendaklah ia difahami menurut penjelasan tersebut.  

Jika diandaikan ia merujuk kepada ‘Perut ibu’ maka jadilah maksud hadis ini:

“Sesungguhnya setiap orang daripada kamu, dihimpunkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dalam tempoh itu menjadi segumpal darah seperti itu juga (iaitulah di dalam perut ibu), kemudian dalam tempoh itu menjadi seketul daging seperti itu juga (iaitulah di dalam perut ibu)…”

Namun pengulangan seperti ini tidak membawa suatu maksud yang baharu, bahkan ia merupakan satu pengulangan yang tidak perlu. Kerana sudah diketahui umum penciptaan manusia dihimpunkan di dalam perut ibunya. Pengulangan seperti ini berlawanan dengan sifat Fasahah yang ada pada ungkapan-ungkapan dari Nabi SAW.
Oleh itu ungkapan مثل ذلك tidak boleh dirujuk kepada ‘Perut Ibu’. Sebaliknya ia adalah merujuk kepada ‘Himpunan ciptaan’.

Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn al-Zamlakani di dalam al-Burhan al-Kasyif ‘An I’jaz al-Quran al-Karim. Beliau merupakan salah seorang ulama yang masyhur pada kurun ke 7 Hijrah. Beliau menyatakan maksud ini juga ditunjukkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Dimana maksud hadis: “Dihimpunkan ciptaan di dalam perut ibu” iaitulah dihimpun kesemua fasa itu, dicipta dengan kukuh dan penuh ketelitian di dalam perut ibu.

Kefahaman ini boleh dilihat dari contoh seseorang yang berkata: “Seseorang insan sepanjang umurnya akan berubah-rubah keadaannya.” Setelah itu dia jelaskan maksud perubahan itu dengan berkata: “dia berada dalam keadaan disusui ibunya, kemudian berhenti dari menyusu, kemudian menjadi kanak-kanak, kemudian seorang pemuda, kemudian menjadi dewasa, kemudian menjadi tua, kemudian menjadi lemah, kemudian dia diwafatkan oleh Allah.” Ayat ini merupakan perkhabaran tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam tempoh usianya selama berada di dunia.

Oleh itu maksud hadis yang sebenarnya ialah:

Sesungguhnya setiap orang daripada kamu, dihimpunkan ciptaannya (dalam keadaan kukuh dan teliti) di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dalam tempoh demikian (iaitulah dalam bilangan 40 hari itu) ia akan menjadi segumpal darah seperti itu juga (iaitulah yang dihimpun ciptaannya dengan kukuh dan teliti), kemudian dalam tempuh demikian (iaitulah dalam bilangan 40 hari yang sama) ia akan menjadi seketul daging seperti itu juga (iaitulah yang dihimpun ciptaannya dengan kukuh dan teliti). Setelah itu diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan ke dalamnya ruh dan diperintahkan dengan 4 perkara: ketentuan rezeki, ajal, amalan, bahagian atau sengsara.”

Berdasarkan huraian ini, ia menunjukkan sempurnanya pembentukan janin dan waktu tiupan ruh berlaku kepada janin di dalam perut ibu setelah berlalunya 42 malam. Perkara ini juga disokong dan dikuatkan dengan kajian moden.

Wallahu a’lam.

http://bayanelislam.net/Suspicion.aspx?id=03-02-0063

0 comments: