Thursday, March 15, 2012

1) Hadis Gerhana Bulan dan Matahari

Tiada Yang Cenderung Kepadanya Melainkan Orang Mahukan kebinasaan




Pengikut ajaran Qadiani mendakwa Mirza Ghulam Ahmad adalah seorang Nabi, Imam Mahdi dan Isa al-Masih, mereka mendakwa buktinya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Daraqutni di dalam kitab Sunannya:


إن لمهدينا آيتين لم تكونا منذ خلق السماوات والأرض تنكسف القمر لأول ليلة من رمضان وتنكسف الشمس في النصف منه ولم تكونا منذ خلق الله السماوات والأرض


Mafhumnya: “Sesungguhnya bagi al-Mahdi kami itu ada dua tanda, belum pernah berlaku semenjak penciptaan langit dan bumi, (iaitulah) gerhana bulan pada malam pertama bulan Ramadhan dan gerhana matahari pada pertengahan bulan tersebut, dan dua tanda ini belum pernah berlaku semenjak Allah menciptakan langit dan bumi.” (sumber: lamanweb rasmi Qadiani: http://islamahmadiyya.net)



JAWAPAN DAN BANTAHAN



Ungkapan ini bukanlah hadis Nabi SAW. Al-Imam al-Daraqutni yang meriwayatkan hadis ini meriwayatkannya hanya sampai kepada Muhammad bin ‘Ali yang dikenali sebagai Muhammad bin al-Hanifiyyah. Di bawah ini di datangkan sanad hadis tersebut:


حدثنا أبو سعيد الاصطخري ثنا محمد بن عبد الله بن نوفل ثنا عبيد بن يعيش ثنا يونس بن بكير

عن عمرو بن شمر عن جابر عن محمد بن علي قال


Maksudnya: al-Daraqutniy berkata di dalam Sunannya: Menceritakan kepada kami Abu Sa’id al-Astakhriy(katanya), menceritakan kepada kami Muhammad bin ‘Abdillah bin Naufal (katanya), menceritakan kepada kami ‘Ubaid bin Ya’iesy (katanya), menceritakan kepada kami Yunus bin Bakir, daripada ‘Amr bin Syamir, daripada Jabir, daripada Muhammad bin ‘Aliy, katanya: …. Lalu disebut hadis di atas.


Sanad ini menunjukkan al-Imam al-Daraqutniy meriwayatkan ungkapan ini sehingga sampai kepada Muhammad bin ‘Ali sahaja seperti yang jelas terdapat di dalam Sanad Hadis. Bukan beliau meriwayatkannya sampai kepada Rasulullah SAW.


Lebih malang lagi apabila ungkapan ini juga direka secara dusta dan palsu, lalu disandarkan kepada Muhammad bin ‘Ali. Maka hukum al-Raf’ (الرفع) tidak boleh dikenakan pada ungkapan ini seperti yang diperakui di dalam kajian Ilmu Hadis. Hadis ini telah dikenalpasti sebagai palsu dan dusta kerana terdapat beberapa individu yang telah dikenal pasti sebagai pendusta oleh para Ilmuan Hadis, penjelasannya adalah seperti berikut:


i. Individu yang bernama Yunus bin Bakir (يونس بن بكير) seperti yang terdapat di dalam Sanad hadis ialah Yunus bin Bakir bin Wasil bin al-Syaibani beliau adalah seorang yang banyak melakukan kesalahan dalam periwayatan.


ii. Individu yang bernama ‘Amr bin Syamir pula seperti yang terdapat di dalam Sanad adalah ‘Amr bin Syamir al-Ju’fiy al-Kufiy al-Syi’ie, Abu ‘Abdillah. Beliau merupakan seorang pereka hadis secara dusta dan palsu lalu disandarkan kepada Nabi SAW. Para ilmuan hadis telah menjelaskan tentang ‘Amr bin Syamir ini, seperti berikut:


Ø Kata al-Sulaimaniy (السليماني): “Amr adalah seorang yang memalsukan hadis untuk Rawafidh (bertujuan menyokong fahaman Syi’ah Rafidhah)”.

Ø Kata al-Jauzjani (الجوزجاني): “Beliau (‘Amr bin Syamir) seorang pendusta dan sesat.”

Ø Kata al-Hakim: Beliau seorang yang banyak meriwayatkan hadis-hadis palsu dari Jabir al-Ju’fi, tidak ada seorang lain yang banyak meriwayatkan hadis-hadis palsu dari Jabir selain dia.”

Ø Kata Ibn Hibban: “Beliau seorang Rafidh (seorang penganut ajaran Syiah Rafidhah), yang mencela para sahabat dan meriwayatkan hadis-hadis palsu dan disandarkan kepada perawi thiqah (secara dusta).”

Ø Kata Abu Hatim: “Hadis darinya bersangatan Mungkar dan Dhoief, mesti diabaikan, dan para ulama meninggalkannya (tidak mengambil hadis darinya).”

Ø Selain para Ilmuan Hadis di atas, ramai lagi para Ilmuan lain yang tidak menerima hadis dari ‘Amr bin Syamir, seperti al-Bukhari, al-Nasa’ie, Ibn Sa’ad, al-Daraqutniy sendiri dan ilmuan Hadis yang lain.


iii. Manakala periwayat bernama Jabir yang terdapat di dalam Sanad, belaiu ialah Jabir al-Ju’fiy, seorang Matruk al-Hadis. Periwayatannya telah ditolak dan dianggap dusta oleh ramai Ilmuan Hadis, antaranya: Ibn Ma’in, Abu Hanifah, Laith bin Abi Salim, al-Jauzjani, Ibn ‘Uyainah, Ibn Kharras, Sa’id bin Jubair dan selain mereka. Kata Ibn Hajar: Beliau seorang yang Dhaief dan seorang Rafidhi (syiah Rafidah). (Lihat al-Mausu’ah fi Ahadithal-Mahdiy, Hal: 169-170 oleh Dr. ‘Abd al-‘Alim ‘Abd al-‘Azim al-Bastawi)

*** Malang dan satu pengkhianatan apabila lamanweb Qadiani tidak menyebut Sanad hadis ketika menukilkan hadis PALSU ini. Lalu mereka mengaburi umat Islam yang jahil dan lemah pegangan agama.

Wallahu a'lam.

1 comments:

AkangRoez said...

Pada masa pendiri jemaat ahmadiyah hadhrat mirza ghulam ahmad mendawkan diri sebagai imam mahdi wktu itu para ulama ahlu hadits mempertanyakan kebenaran hadits tsb, bhwa seandainya Mirza Ghulam Ahmad itu benar maka mrk meminta tanda yg sesuai dg hadits tab, yakni agar tanda gerhana matahari dn bulan itu terjadi.
Dan terjadilah gerhana tsb sebagai bukti penggenpan dari hadits tersebut, namun setelah tanda itu sempurna mrk beralasan bhwa hadits itu palsu atw lemah.

Sekarang apabila kejadian yg di khabarkan dari hadist yg dianggap palsu itu sempurna terjadi apakah kita akan tetap mengingkarinya?

Ini jelas bhwa pengabsahan hadits yg dianggap palsu itu harusnya dpt dilihat dari penggenapan dari hadtis tsb.