Wednesday, December 3, 2008

Keguguran Di Bawah Tiga Bulan : Nifas Atau Tidak?


Soalan:

Saya ada sedikit kemusykilan. Isteri saya baru keguguran kandungan. kandungannya gugur dalam usia sembilan minggu. Kandungan masih belum mempunyai sifat, hanya segumpal darah atau daging. Persoalannya :

Adakah ia dikira nifas? kalau masih berlaku pendarahan selepas keguguran ? Darah itu dikira sebagai darah nifas atau istihadhah? Saya sudah bertanyakan beberapa orang ustaz, ada yg mengatakan nifas dan ada yang mengatakan istihadhah. Sekarang ni, isteri saya menggunakan pendapat yg mengatakan ia nifas dan dia tidak bersolat. Jika kami dapati pendapat yg mengatakan ia bukan nifas lebih kuat, adakah isteri saya kena qadha balik solatnya yang tertinggal. mohon penjelasan beserta rujukan dan dalil.




Jawapan:

Wujud perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam persoalan ini. Sebab itu sebahagian ustaz yang saudara tanyakan masaalah tersebut mengatakan yang darah tersebut adalah darah nifas manakala sebahagian ustaz yang lain mengatakan darah tersebut adalah darah istihadhah.

Pendapat yang saya pilih adalah seperti berikut beserta sedikit penjelasannya:
Nabi s.a.w. bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ، ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوح


Maksudnya : "Sesungguhnya setiap orang daripada kamu dihimpunkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dia menjadi 'Alaqah (عَلَقَةً) seperti tempoh itu juga (40 hari), kemudian dia menjadi Mudhghah (مُضْغَةً) seperti tempoh itu juga (40 hari), kemudian ALLAH mengutuskan malaikat maka disuruh dengan 4 kalimat. Dikatakan kepadanya : "Tuliskan amalannya, dan rezkinya dan ajalnya, dan duka atau gembira, kemudian ditiupkan padanya ruh." (Riwayat al-Bukhari)

Hadith ini menunjukkan wujudnya beberapa marhalah penciptaan manusia di dalam rahim ibunya iaitulah :

1- Nutfah (نطفة = air mani) selama 40 hari
2- 'Alaqah (عَلَقَةً = seketul darah) selama 40 hari
3- Mudhghah (مُضْغَةً = seketul daging) selama 40 hari

Kemudian ditiupkan ruh setelah selesai 3 peringkat 40 hari ini, iaitulah selepas 120 hari.

ALLAH swt pula berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنْ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ

Maksudnya : "Wahai sekelian manusia, sekiranya kamu menaruh syak tentang kebangkitan semula (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada peringkat kejadian manusia) kerana sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih (Nutfah = نُطْفَةٍ), kemudian dari sebuku darah beku ('Alaqah = عَلَقَةٍ), kemudian dari seketul daging (Mudhghah = مُضْغَةٍ) yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan;.." (al-Hajj : 5)

Di dalam ayat di atas ALLAH swt telah menyifatkan bahawasanya pada peringkat Mudhghah (مُضْغَة ) itu akan berlaku dua perkara. Pertama ALLAH akan menyempurnakan kejadiannya dan yang kedua ALLAH tidak menyempurnakan kejadiannya. Ini bermakna kesempurna kejadian itu berlaku pada peringkat yang ketiga iaitulah setelah berlalunya 80 hari.

Berdasarkan dalil ini, beberapa ulama berpendapat jika sesuatu keguguran itu berlaku sebelum berlalunya 80 hari. Maka darah yang keluar dari wanita tersebut adalah darah Istihadah. Jika keguguran itu berlaku antara 80 hari ke 120 hari (hari ditiupkan ruh) maka di lihat pada janin tersebut adakah wujud padanya sifat manusia seperti tangan, kaki, kepala dan lain-lain. Jika wujud sifat-sifat manusia maka darah yang keluar adalah darah nifas, jika tidak wujud maka darah yang keluar adalah darah Istihadhah.

As-Syekh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin di dalam "Fatawa al-mar'ah al-Muslimah" Menyebut :

"Berkata Ahli Ilmu : "Jika janin yang keluar itu telah sempurna kejadian insannya, maka darah yang keluar dikira sebagai darah nifas. Boleh ditinggalkan solat, puasa, suaminya tidak boleh bersamanya (bersetubuh dengannya) sehinggalah dia suci. Jika janin yang keluar itu tidak sempurna kejadian insan, maka darah yang keluar tidak dikira sebagai darah nifas, bahkan ianya dikira sebagai darah fasad (istihadhah) yang tidak menghalang wanita tersebut daripada solat, puasa dan lain-lain."

Persoalan : "Jika kami dapati pendapat yang mengatakan ia bukan nifas lebih kuat, adakah isteri saya kena qadha balik solatnya yang tertinggal."

InsyaALLAH isteri saudara tidak perlu mengqadhakan solat yang ditinggalkannya kerana pada waktu itu dia berpegang kepada pendapat yang mengatakan darah tersebut adalah darah Nifas setelah bertanya kepada beberapa orang ustaz yang dipercayainya.
Tindakannya bertanya lalu mengikut pendapat orang yang dianggapnya lebih mengetahui itu adalah tindakan yang benar. ALLAH swt berfirman:

فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون

Maksudnya : "Maka bertanyalah kepada Ahl Ilmu jika kamu tidak mengetahui." (al-Nahl : 43)

Cumanya setelah dia bertanya lagi, lalu dia mendapati pendapat yang berbeza dengan pendapat pilihan awalnya adalah yang lebih kuat, maka dia beramal dengan pendapat tersebut. Kedua-dua tindakannya tidak menjadi kesalahan.
Wallahu a'lam

2 comments:

ingin tahu said...

Tuan, bagaimana dengan darah yang keluar selepas 2 bulan tidak datang haid dah disahkan hamil menggunakan alat penguji kehamilan? Bolehkah solat dan puasa?

Wan Harlini said...

assalamualaikum..saya baru lepas dari mengalami keguguran..setahu saya, wanita yang lepas bersalin itu terhapus dosa nya selepas melahirkan...bagaimana pula dengan wanita yang mengalami keguguran..adakah sama situasi nya..mohon perjelaskan. trima kasih