Friday, December 12, 2008

Bersentuhan antara suami isteri batal wudhu atau tidak?

Soalan:
Drpd: Nazro

Salam Ustaz, Saya ingin mengetahui tentang wuduk. Adakah batal wuduk itu bila bersentuhan antara suami & isteri. Ada yang berpendapat batal wuduk itu dan ada yang tidak batal.



Jawapan:
Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Dalam masaalah ini para ulama berbeza pendapat kepada 3 golongan:

1. Berpandangan menyentuh atau bersentuhan antara lelaki dan wanita (termausk suami dan isteri) membatalkan wudhu dalam apa keadaan sekalipun, samaada sentuhan itu beserta syahwat ataupun tidak. Inilah pandangan mazhab al-Imam al-Syafie R.H.

Dalilnya mazhab pertama antaranya:

i- Ayat al-Quran:

أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء

Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wudhu.

2. Berpandangan menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu samaada sentuh dengan syahwat ataupun tidak. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi R.H.

Dalil mazhab kedua antaranya:

i. Hukum asal orang yang berwudhu adalah kekal wudhunya selama-mana tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wudhunya. Maka dalam bab menyentuh wanita ini tidak ada dalil yang menunjukkan ia membatalkan wudhu. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam ertikata kulit dengan kulit semata-mata. Selain itu terdapat hadith yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wudhu, dan hadith-hadith ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jima’ atau bersetubuh. Hadith-hadith tersebut ialah:
ii. Daripada ‘Aisyah R.’anha:

كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا

Maksudnya: “Aku pernah tidur dihadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu akupun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)

iii. Daripada ‘Aisyah juga:

فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tanganku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemuerkaan-Mu.” (HR Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadith ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah R.A. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah R.A. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wudhu sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wudhu baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Para ulama dari mazhab al-Syafie mengemukan jawapan terhadap hadith ini. Namun jawapan mereka dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, iaitulah mereka berpendapat barangkali sentuhan yang berlaku antara Nabi S.A.W. dan ‘Aisyah itu berlaku dengan berlapik. Alasan ini dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, sehingga al-Syaukani berkata: “Takwilan ini merupakan takalluf dan bersalahan dengan zahir (dalil).”

3. Berpendapat bersentuhan antara lelaki dan perempuan dengan syahwat membatalkan wudhu jika tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu. Ini adalah mazhab Malik dan Hambali.

Pandangan ini merupakan hasil daripada menggabungkan antara nas-nas yang ada dalam masaalah ini, iaitu ayat al-Quran yang bermaksud: “Atau apabila kamu menyentuh wanita (kamu perlu berwudhu)” kerana zahir ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wudhu dengan hanya bersentuhan antara lalaki dan wanita, dengan hadith-hadith yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi dan ‘Aisyah, dan baginda tidak memperbaharui wudhu.

Sebahagian ulama, terutama yang berpendapat tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita berpendapat, cara menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hambali ini benar jika ayat al-Quran di atas memaksudkan dengan bersentuhan itu adalah semata-mata bersentuhan antara kulit. Akan tetapi terdapat penafsiran yang sahih yang menunjukkan ayat tersebut memaksudkan jima’ atau bersetubuh bukan semata-mata bersentuhan. Ini sepert yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas R.A. dan penafsiran ini dipilih oleh Ibn Jarir, dan penafsiran Ibn ‘Abbas ini didahulukan berbanding penafsiran lain, kerana Nabi S.A.W. pernah berdoa kepada Ibn ‘Abbas dengan doa baginda yang berbunyi:

اللهم فقّهه في الدين وعلمّه التأويل

Maskudnya: Ya Allah fakihkanlah ia (Ibn ‘Abbas) dalam hal-ehwal agama dan ajarkanlah dia tafsir (al-Quran).” (HR Ahmad, al-Albani telah mensahihkan hadith ini di dalam Tahkik al-Tohawiah)

Selain itu banyak ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh (المس) dengan maksud jima’ atau bersetubuh, antaranya firman Allah S.W.T.:

لاَّ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاء مَا لَمْ تَمَسُّوهُنُّ أَوْ تَفْرِضُواْ لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: “Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (al-Baqarah : 236)

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ

Maksudnya: “Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (al-Baqarah: 237)

Di dalam ayat yang lain lagi Allah berfirman dengan menggunakan kalimah menyentuh dengan maksud bersetubuh:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab: 49)

Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih hampir kepada maksud yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita. Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dan ulama semasa seperti al-Syeikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, para ulama dari Lujnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama yang lain lagi.

Wallahu a’lam. bs.



14 comments:

Mohd Fadli bin Sulaiman said...

Sungguh mantap huraian ini. Mohon dikongsikan. TQ. http://anjungfarha.blogspot.com

maszmadi said...

tq sharing,

mohon share info ini ya..

bin sahak said...

dipersilakan...

jai said...

penjelasan yang sempurna.Amin...

TheOther said...

Tapi kita di malaysia kan bermahzab syafie . ikot jela pendapat imam as-syafie rahimahullah ..

Unknown said...

bukan ikut je la. tapi ikut dengan pemahaman dan mengetahui sebab musabbab nye. baru lah wujud keyakinan pada setiap amalan/ikutan kita. wallahu alam

hadyuka said...

ada org suka taklid buta jd dungu..hal ini sgt di keji dlm agama.. sedangkan para Imam Mujtahid tidak menyuruh kt taklid buta sj:

Al-Imam asy-Syafi’i (Madzhab Syafi'i) mengatakan:
كل مسألة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند أهل النقل بخلاف ما قلت؛ فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي
“Semua permasalahan yang sudah disebutkan dalam hadits yang sahih dari Rasulullah dan berbeda dengan pendapat saya, maka saya rujuk dari pendapat itu ketika saya masih hidup ataupun sudah mati.”

Al-Imam Malik (Madzhab Maliki) mengatakan:
إنما أنا بشر أخطئ وأصيب، فانظروا في رأيي؛ فكل ما وافق الكتاب والسنة فخذوه، وكل ما لم يوافق الكتاب والسنة فاتركوه
“Saya hanyalah manusia biasa, mungkin salah dan mungkin benar. Maka perhatikanlah pendapat saya, jika sesuai dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah maka ambillah. Apabila tidak sesuai dengan keduanya maka tinggalkanlah.”

Al-Imam Abu Hanifah (Madzhab Hanafi) mengatakan:
لا يحل لأحد أن يأخذ بقولنا ما لم يعلم من أين أخذناه
وفى رواية: «حرام على مَن لم يعرف دليلي أن يفتى بكلامي «فإننا بشر، نقول القول اليوم ونرجع عنه غدًا
“Tidak halal bagi siapa pun mengambil pendapat kami tanpa mengetahui dari mana kami mengambilnya.” Dalam riwayat lain, beliau mengatakan, “Haram bagi siapa pun yang tidak mengetahui dalil yang saya pakai untuk berfatwa dengan pendapat saya. Karena sesungguhnya kami adalah manusia, perkataan yang sekarang kami ucapkan, mungkin besok kami rujuk (kami tinggalkan).”

Al-Imam Ahmad Bin Hambal( Madzab Hambali mengatakan):
لا تقلدني، ولا تقليد مالكًا ولا الشافعي ولا الأوزاعي ولا الثوري، وخذ من حيث أخذوا
“Janganlah kalian taklid kepada saya dan jangan taklid kepada Malik, asy-Syafi’i, al-Auza’i, ataupun (Sufyan) ats-Tsauri. Tapi ambillah (dalil) dari mana mereka mengambilnya.”

Manhaj (Jalan) Golongan yang Selamat II

Golongan yang selamat adalah yang Allah selamatkan atasnya dengan anugerah dan karunianya.

Golongan Yang Selamat ialah golongan yang setia mengikuti manhaj Rasulullah dalam hidupnya, serta manhaj para sahabat sesudahnya. Yaitu Al-Qur'anul Karim yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya, yang beliau jelaskan kepada para sahabatnya dalam hadits-hadits shahih. Beliau memerintahkan umat Islam agar berpegang teguh kepada keduanya.

"Aku tinggalkan padamu dua perkara yang kalian tidak akan ter-sesat apabila (berpegang teguh) kepada keduanya, yaitu Kita-bullah dan Sunnahku. Tidak akan bercerai-berai sehingga kedua-nya menghantarku ke telaga (Surga)." (Di-shahih-kan al-Albani dalam kitab Shahihul Jami')

Unknown said...

Amat kelakar apabila ada yg mengatakan ikut sahaja mazhab syafie disebabkan negara Malaysia bermazhab syafie majoritinya. Jikalau ya, bayar zakat dgn wang dan azan 2 kali ketika solat Jumaat itu mazhab siapa ya? Ia bukan mazhabnya syafie..

fussilat313 said...

Artikel tuan blog baik; tetapi lebih baik jika tuan blog mengkaji lebih mendalam tentang pendapat baru dalam mazhab hanafi; bukan sekadar memetik pendapat dalam mazhab hanafi tanpa tuan blog betul-betul menyelidiki semua pandangan dalam mazhab hanafi. Bahayanya kalau kita menulis berkenaan mazhab-mazhab tanpa kita faqih dalam 4 mazhab.

cikgurahim said...

Tahniah. Ringkas dan padat.

Unknown said...

ada orang yang suka ikut pendapat (mana2 imam) yg lbh memudahkan mereka. termasuk org2 yg lbh bnyk pendidikan agama sekeliling saya. atas alasan Islam itu tdk menyusahkan. saya juga(yang lemah dan masih jahil ini) berpegang pada mazhab syafie kerana apa yg saya faham..mazhab ni ikut tempat. adakah mungkin kita akan memahami keempat-empat mazhab tersebut sekaligus? adkh kita nak ikut mazhab ni berdasarkan keadaan/kes?

berdasarkan 1 kisah yg mana salah seorang imam yang memakai pandangan doa qunut sunat muakkad dibaca dlm solat subuh..namun imam ini pergi ke tempat imam yang memakai pendapat tak perlu baca qunut dlm solat subuh..oleh kerana menghormati mazhab di tempat tersebut, jadi imam ini tidak membaca doa qunut.
kesimpulan yg saya dpt;
imam td - menghormati pendapat mazhab tempat tersebut
-tidak mahu ade pertelagahan di kalangan penduduk tmpt tersebut
-mengutamakan kedaimaian walaupun berbeza mazhab dan pendapat.
minta betulkan mana2 info saya jika tersilap.

Unknown said...

mohon share.

failgdm said...

Semasa mempelajari bab ini dulu, tok guru ada mengajar bahawa imam syafie membahagi bab ini kpd dua keadaan.

1. Keadaan terpaksa atau dipaksa, maka wudhu tidak batal. Sbgai contoh semasa suami solat, isteri menyentuh atau melanggar dgn tidak berlapik, maka tidak terbatal wudhu.

2. Dalam keadaan sedar atau suka rela. Isteri sentuh suami, atau suami sentuh isteri, maka batal wudhu.

Wallahuaalam

Kgnaga86 said...

KhilafurRahmah..jgn salahkan mana2.. terima semuanya...pilihlah yg sesuai dgn kita. Siapa yg pilih batal kalau sentuh, wuduk semula. Siapa yg pilih tidak batal teruskan solat..